Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

‘Dulu meratib kerajaan pintu belakang, kini tak mahu PRU pula’

Kuasa membubarkan parlimen adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong, bukan Umno, kata Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki.

Menjawab Presiden PKR, Asyraf berkata apakah Presiden PKR, Anwar Ibrahim tidak tahu bahawa ia adalah bidang kuasa Agong, bawah Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

"Betullah Umno bukan majoriti dalam kerajaan. Itu sebab kerajaan tidak stabil dan ugut-mengugut berterusan berlaku.

"Kemuncaknya, apabila 12 menteri Perikatan Nasional (PN) (PPBM dan PAS) mengutuskan warkah kepada Agong mendahului dan menyanggah perdana menteri. 

"Itu dengan sendirinya memberikan isyarat jelas kepada Agong bahawa kerajaan tidak lagi boleh berfungsi dengan baik untuk rakyat kerana tidak pernah berlaku perutusan warkah sebegitu rupa," katanya dalam hantaran di Facebook.

Anwar pada 2 Oktober lalu berkata Umno tidak berhak memaksa pembubaran parlimen kerana tidak mempunyai majoriti cukup di Dewan Rakyat.

Katanya, Umno hanya mempunyai 38 daripada 222 kerusi.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pembubaran parlimen ke-14, memberi laluan kepada pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob juga mengesyorkan semua negeri–kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor yang telah mengadakan pilihan raya negeri–membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing- masing.

1,001 alasan 

Sementara itu, Asyraf secara sinis menyindir Anwar yang selalu meratib bahawa kerajaan kini adalah kerajaan pintu belakang tanpa mandat rakyat.

Oleh itu katanya, mengapa Anwar perlu pertikai apabila mandat  diserahkan kembali kepada rakyat.

"Maka Agong sebagaimana kenyataan media pihak Istana kelmarin, menggunakan kuasa yang diperuntukkan dalam perlembagaan untuk membubarkan parlimen bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih Kerajaan yang lebih stabil.

"Bukankah Anwar dan Pakatan Harapan (PH) juga selalu ratib kerajaan pintu belakang dan bukan mandat rakyat? 

“Bila diserahkan kembali mandat kepada rakyat, kenapa pula datang dengan 1,001 alasan untuk tidak mahu PRU-15?” katanya.