Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PH 'tamak kuasa' tak bubar DUN serentak - Zahid

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata negeri-negeri pentadbiran Pakatan Harapan "tamak kuasa" kerana tidak membubarkan dewan undangan mereka.

Dakwanya, PH takut kehilangan kuasa lantaran itu menuduh BN yang tamak kuasa.

"Enggan menyerahkan kembali hak dan mandat rakyat untuk memilih sebuah kerajaan baru kerana bimbang tidak dapat kekal sebagai kerajaan.

"Sanggup menyebabkan pembaziran untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) secara berasingan gara-gara khuatir akan kehilangan kuasa.

"BN jika tamak kuasa seperti mereka boleh tidak membenarkan negeri yang ditadbirnya tidak membubarkan DUN, namun bukan itu tujuan politik BN," katanya pada satu kenyataan.

Terdahulu, Zahid mengumumkan DUN negeri-negeri BN akan bubar serentak dengan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.

Bagaimanapun katanya DUN Melaka, Johor dan Sabah tidak akan dibubarkan kerana belum mencapai tempoh matang.

Semalam, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke (gambar, bawah) berkata Umno harus dipersalahkan atas kos tambahan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) secara berasingan dengan PRU15.

Loke berkata PH tidak boleh dipersalahkan kerana ia telah pun mengumumkan bahawa Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada 5 Oktober lepas, Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata kerajaan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang telah memutuskan bahawa DUN masing-masing tidak akan dibubarkan sehingga musim tengkujuh tamat.

Ini bagi membolehkan kerajaan tiga negeri itu menumpukan usaha bantuan banjir.

Tiga hari kemudian, Presiden PAS Abdul Hadi Awang membuat pengisytiharan sama melibatkan Terengganu, Kedah dan Kelantan - tiga negeri yang lazimnya terjejas dengan ketara semasa musim tengkujuh.

Bagaimanapun, Zahid hari ini berkata alasan pembangkang menentang PRU15 diadakan tahun ini kerana “risiko banjir besar" sudah tidak lagi relevan sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan PRU15 berlangsung sebelum pertengahan November.

"Sesebuah pilihan raya termasuk PRU-15 bermaksud menyerahkan kembali hak dan mandat kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan baru.

"Pilihan raya umum, kecil mahupun negeri adalah sebuah proses demokrasi melalui peti undi yang boleh disertai mana-mana parti politik atau individu yang layak.

"PRU15 bukan 'upacara' menyerahkan kuasa pentadbiran negara kepada BN tanpa ada pertandingan, sebaliknya sebuah proses undian rakyat yang menentukan,” katanya.