Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KSN: Menteri berfungsi seperti biasa dalam k'jaan sementara

Kabinet yang diterajui Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berfungsi sebagai kerajaan sementara atau “caretaker” dengan mesyuarat Kabinet masih boleh dijalankan seperti biasa walaupun Parlimen telah dibubarkan hari ini, kata Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Bagaimanapun, dia berkata Kabinet tidak boleh membuat sebarang keputusan dasar walaupun masih boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam soal pentadbiran negara.

"Menteri dan timbalan menteri berfungsi seperti biasa dalam kerajaan ‘caretaker’ cuma tidak boleh membuat keputusan mengenai dasar dan polisi baru," katanya ketika diminta memberi pandangan mengenai fungsi Kabinet ekoran pembubaran Parlimen.

Mohd Zuki berkata Kabinet juga boleh meneruskan pelaksanaan dasar dan keputusan yang telah dibuat terlebih dahulu sebelum Parlimen dibubarkan.

Dia berkata keadaan ketika ini berbeza dengan pentadbiran terdahulu apabila perdana menteri meletak dan melepaskan jawatan pada 2020 dan 2021.

Mohd Zuki berkata ketika itu apabila perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad dan kemudian Muhyiddin Yassin meletak jawatan, Kabinet mereka secara serta-merta terbubar.

Namun, katanya dalam keadaan sekarang, hanya Parlimen sahaja yang dibubarkan.

"Jemaah menteri masih lagi boleh bermesyuarat terutama apabila berlaku bencana dan sebagainya," katanya.

Perdana menteri semalam dalam perutusan khasnya mengumumkan pembubaran Parlimen Penggal Ke-14 bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

-Bernama