Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ummah sifatkan Bajet 2023 sebagai belanjawan '3R'

Gerakan Pembela Ummah (Ummah) menyifatkan Bajet 2023 sebagai belanjawan yang menarik dan seimbang jika dapat dilaksanakan dengan lancar dan berfokus.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa, berkata Bajet 2023 yang berkonsepkan 3R iaitu responsif, 'resposible' (bertanggung jawab) dan reformis merupakan satu pendekatan yang baik bagi tempoh endemik Covid-19.

Namun, dia membangkitkan mengenai bajet khusus kepada badan bukan kerajaan (NGO) tidak disebut dalam pembentangan belanjawan Jumaat lalu.

"Setakat ini peruntukan dana khas pembangunan NGO tiada disebutkan secara khusus di bawah mana-mana kementerian sedangkan peranan NGO semakin diperlukan sebagai pihak yang menjadi semak dan imbang kepada kerajaan dan menyampaikan agenda kerajaan kepada rakyat dan rakyat kepada kerajaan.

“Bagi negara maju peranan NGO lebih terkehadapan.

"Saya berpendapat Bajet 2023 di antara belanjawan yang menarik dan seimbang jika perlaksanaannya dapat dilaksanakan dengan lancar dan berfokus.

"Masalah pelaksanaan sebelum ini ialah bajet tidak merata dan membumi kepada rakyat, harapan agar ini dapat diatasi," katanya kepada Malaysiakini.

Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat.

Belanjawan bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Bersama' itu menyediakan RM272.3 bilion bagi Belanja Mengurus dan RM95 bilion bagi Belanja Pembangunan.

Bajet 2023 memperuntukan sejumlah RM372.3 bilion, peningkatan ketara berbanding Bajet 2022 yang memperuntukan sebanyak RM332 bilion dan Bajet 2021 yang berjumlah RM322 bilion.

Dalam pada itu, Mohd Zai berkata program basmi kemiskinan dgn peruntukan RM1 bilion untuk 50,000 isi rumah bagi pembangunan pertanian, usahawan, perhidmatan yang memberi fokus kepada M40 amat penting bagi pemulihan selepas pandemik.

"Program Jualan Murah Keluarga Malaysia barangan asas diskaun 20 peratus dengan peruntukan RM100 juta sangat membantu golongan yang bersasar khususnya fokus kepada M40," katanya