Ciapan ‘singgung’ Ali Rustam: Aktivis bebas lepas disoal 5 jam
Aktivis Jay Jay Denis telah dibebaskan selepas disoal kira-kira lima jam di balai polis Alor Gajah semalam, berikutan ciapannya di Twitter pada bulan lalu.
Jay Jay berkata dia disiasat di bawah Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menyalahgunakan rangkaian komunikasi.
“Polis mengambil keterangan saya dan kemudian meneruskan laporan risikan di bawah unit D4 Bukit Aman.
"Mereka nak tahu semua perkara, sejak saya dilahirkan. Membuat saya ingat macam-macam.
“Tapi saya diberitahu berulang kali yang polis tidak mempunyai pilihan lain kerana arahan itu datang daripada individu paling berkuasa di Melaka, yang amat tersinggung dengan ciapan saya,” kata Jay Jay (gambar, atas) melalui hantaran Facebooknya selepas dibebaskan.
Siasatan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula membawa hukuman penjara maksimum setahun, denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Ciapan itu merujuk kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Mohd Ali Rustam.
Aktivis itu ditahan petang semalam di rumahnya di Lembah Klang dan dibawa ke Melaka untuk disoal siasat.
Peguam Ambiga Sreenevasan kemudian mewakili Jay Jay.
Tahun lepas, empat individu didakwa di mahkamah kerana menghina Ali berhubung catatan di Twitter mengenai lawatannya ke Kesang Tua - lokasi yang menjadi tempat latihan pemenang pingat emas Olimpik Filipina Hidilyn Diaz.
Seorang lagi, disiasat di bawah Akta Hasutan berhubung ciapan tanda soal “???” sebagai respons terhadap ciapan Ali.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai