Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tutup pejabat UNHCR baru cadangan, kata Saifuddin

Semua pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) hanya akan ditutup jika Malaysia dapat mengeluarkan kad sendiri untuk digunakan pelarian dan pencari suaka yang datang ke negara ini.

Menteri Luar, Saifuddin Abdullah, berkata setakat ini memang ada cadangan untuk menutup pejabat UNHCR di Malaysia, namun perkara itu mengambil masa untuk dilaksanakan.

“Sebenarnya apa yang berlaku ialah cadangan supaya satu transisi diadakan bagi Malaysia mempunyai kad tersendiri yang akan digunakan untuk pelarian dan pencari suaka di Malaysia.

"Kalau itu boleh berlaku, maka pejabat UNHCR itu mungkinlah akan ditutup, tapi ini akan mengambil sedikit masa.

"Pada waktu yang sama kerajaan juga harus memberi jaminan kepada komuniti antarabangsa bahawa kita akan melaksanakan kerja ini lebih baik daripada UNHCR.

“Jadi, isunya bukan kewujudan pejabat UNHCR, isunya ialah bagaimana kerajaan Malaysia menguruskan kehadiran pelarian dan pencari suaka dengan cara lebih kemas dan sistematik,” katanya dalam sidang media di Kuantan, Pahang, hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan dibuat Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Rodzi Md Saad pada Khamis lalu.

Rodzi dalam sidang media selepas program di Putrajaya berkata, pihaknya sedang meneliti penutupan operasi pejabat UNHCR di negara ini dalam usaha membaiki pengurusan pelarian tanpa campur tangan asing.

Katanya, MKN perlu memperkukuh mekanisme dirancang dan memastikan pelaksanaan mantap, baik dan teratur sebelum disyorkan kepada kerajaan.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Saifuddin menjelaskan keputusan menutup atau meneruskan operasi pejabat UNHCR di negara ini tidak akan mengubah pendirian Malaysia dari sudut perikemanusiaan.

“Selama ini pun kita tidak meratifikasi konvensyen berkaitan pelarian, tetapi kita sangat berperikemanusiaan dan sentiasa memberi bantuan sebaiknya kepada pelarian.

“Sejak zaman pelarian Vietnam pada 1970-an dan kini (pelarian) Myanmar dan antara Vietnam dan Myanmar itu, kita ada (terima) pelarian dari Palestin dan Syria, bahkan kita layan mereka ini lebih baik dari negara yang meratifikasi konvensyen berkaitan pelarian,” katanya.