Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

MMA harap peruntukan kesihatan dilaksanakan dengan telus

Peningkatkan sebanyak 11.5 peratus bagi belanjawan kesihatan untuk 2023 disambut baik oleh komuniti penjagaan kesihatan negara.

Mengalu-alukan peruntukan itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Muruga Raj Rajathurai, bagaimanapun berharap agar pelaksanaan Belanjawan 2023 di bawah Kementerian Kesihatan dapat dilaksanakan dengan telus.

"Peningkatan 11.5 peratus dalam belanjawan kesihatan negara untuk 2023, yang merupakan peningkatan ketara berbanding Belanjawan 2022.

"Sememangnya berita yang dialu-alukan dan langkah yang betul ke arah pembaharuan yang diperlukan dalam sistem penjagaan kesihatan kita.

"Melangkah ke hadapan, MMA berharap akan wujud ketelusan dalam penggunaan pelbagai peruntukan di bawah Kementerian Kesihatan," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Terdahulu ketika pembentangan Bajet 2023 Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan peruntukan RM36.139 bilion kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

Ia membabitkan RM31.50 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM4.639 bilion bagi belanja pembangunan.

Pelaburan yang diperlukan

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ia satu pengiktirafan kepada kepentingan penjagaan kesihatan.

Jelas Khairy, ia selari dengan aspirasi kesihatan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia sebagai satu keutamaan kerajaan.

"Peruntukan ini antara peningkatan jumlah perbelanjaan terbesar dalam kalangan kementerian jika dibandingkan dengan keseluruhan peruntukan bajet Kerajaan Persekutuan 2023 yang berjumlah RM372.3 bilion iaitu sebanyak 11.05 peratus.

"Peningkatan dalam peruntukan kepada KKM dalam Bajet 2023 adalah satu pelaburan yang amat diperlukan bagi memastikan Keluarga Malaysia kekal sihat, mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan seterusnya mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara," katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah menyifatkan peruntukan tambahan sebanyak RM4 billion berbanding tahun 2022 berupaya untuk meningkatkan fasiliti klinik kesihatan dan klinik desa.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas keprihatinan kerajaan melalui pembentangan Belanjawan 2023 sebentar tadi.

"Peruntukan tambahan RM4 billion berbanding dengan tahun 2022 adalah amat dinanti-nantikan untuk mengganti dan membaiki klinik desa dan klinik kesihatan yang usang," tulisnya dalam satu hantaran di media sosial.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Dr Kuljit Singh, berkata pihaknya gembira kerana banyak insentif dan bajet untuk pesakit mendapat rawatan di hospital awam.

"Kami dari persatuan hospital swasta Malaysia gembira kerana terdapat banyak insentif dan bajet untuk pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital awam.

"Meskipun tiada insentif untuk hospital swasta bagi membantu hospital awam tetapi kami akan terus membantu dalam apa jua cara yang kami boleh," katanya.