Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Bubar parlimen sekarang ikut prinsip, kaedah Islam?

Islam sebagai agama yang lengkap dan menyeluruh sentiasa bersikap mendahulukan manfaat kemanusiaan.

Dalam bidang fikah, sumber hukum Islam bukan sahaja terhad kepada al-Quran dan Sunnah, tetapi meliputi juga Ijma dan Qiyas. Ada juga pandangan yang meletakkan uruf (adat kebiasaan) sebagai salah satu kaedah fikah.

Dalam Mazhab Syafie, terkandung dalam qiyas juga adalah Masaleh al-Mursalah, iaitu pertimbangan kebaikan kepada masyarakat. 

Dalam kaedah ini, segala fakta selain nas daripada Al-Quran dan hadith akan turut menjadi pertimbangan.

Sebagai contohnya mengkategorikan dadah sebagai al-khamr (yang berpotensi menghilangkan kewarasan akal) datang daripada data kajian terhadap kesan dadah kepada otak. Maka dari sinilah thabit hukum pengharaman dadah.

Jika ditinjau pelaksanaan pilihan raya umum ke 15 ketika musim hujan maka kaedahnya juga serupa. Data-data dari Jabatan Meteorologi Malaysia adalah hujah yang kuat dan tidak boleh diketepikan dalam membuat keputusan.

Data jabatan itu mendapati bahawa kita akan berhadapan dengan pertukaran angin monsun bermula awal Oktober sehingga lewat November. Ia akan mengakibatkan hujan dan ribut petir sehingga mengakibatkan banjir.

Pertimbangan waktu pula dengan jelas menunjukkan masih ada tempoh pilihan bagi mengelakkan musim tengkujuh bagi melaksanakan pilihan raya. Tempoh tamat penggal ini adalah pada bulan Julai 2023. Maka dari segi masa ia terkeluar dari kategori dharuriyat (keperluan/ terdesak). 

Jika kita meluaskan lagi perbincangan dari sudut maqasid syariah atau dilanjutkan lagi kepada perbahasan keutamaan (Fikah Awlawiyat) dan keseimbangan (Muwazanat), maka akan semakin jelas ketempangan keputusan Majlis Tertinggi Umno untuk meminta YDPA membubarkan parlimen dalam masa terdekat.

Keputusan itu lebih menjurus kepada nafsu untuk terus berkuasa dan mengenepikan keselamatan umat Melayu dan umat Malaysia keseluruhannya.

Ia juga datang dari rasa gelabah jika pilihanraya umum semakin lambat, maka semakin pudarlah harapan Umno merebut kuasa.

12. Dari sini kita boleh memahami kenapa tiada sebarang suara menyokong dari rakan kongsi kerajaan Keluarga Malaysia iaitu PAS dan Bersatu untuk bersungguh-sungguh menyokong keputusan Umno itu.


AMIDI ABDUL MANAN ialah pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.