Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mahkamah Rayuan perintah NFCorp bayar Public Bank kos RM5,000

Pasukan perundangan Public Bank memaklumkan Mahkamah Rayuan bahawa penangguhan pendengaran rayuan Perbadanan Fidlot Nasional (NFCorp) hari ini adalah penangguhan kali ketujuh sejak 2019.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Azizah Nawawi, ketika membenarkan permohonan NFCorp untuk menangguhkan perbicaraan kerana peguam bela utamanya Muhammad Shafee Abdullah sedang bercuti sakit (MC), memerintahkan syarikat itu membayar kos RM5,000 kepada bank perdagangan tersebut.

Hari ini sepatutnya dijadualkan untuk pendengaran rayuan oleh NFCorp dan empat yang lain dalam tindakan sivil mereka untuk supaya Public Bank bertanggungjawab atas pelanggaran kontrak menjaga kerahsiaan akaun bank mereka.

Semasa prosiding dalam talian yang dijalankan melalui zoom pagi ini, peguam Sarah Malini Abishegam memaklumkan mahkamah bahawa Shafee tidak dapat hadir kerana demam dan sakit tekak.

Dia memohon penangguhan sementara kerana Shafee adalah satu-satunya peguam yang diberi kuasa untuk menjalankan rayuan bagi pihak NFCorp, sambil mengemukakan salinan MC daripada KPJ Damansara.

Bagaimanapun, peguam Public Bank ,Yoong Sin Min bangkit dan membantah permohonan itu kerana hari ini merupakan penangguhan kali ketujuh sejak rayuan difailkan pada Ogos 2019.

Dia berkata mereka telah menunjukkan kepada mahkamah senarai kronologi penangguhan sebelum ini, dan berkata bahawa pasukan guaman Public Bank sudah bersedia untuk perbicaraan setiap kali.

“Kami (peguam Public Bank) hanya diberitahu pagi tadi bahawa Shafee tidak dapat hadir. Perlu ada sedikit keadilan kepada kami.

"Biasanya, saya tidak akan membantah, tetapi disebabkan (hari) ini adalah tarikh perbicaraan ketujuh, sukar untuk memberitahu anak guam saya mengapa perbicaraan ditangguhkan," kata Yoong kepada panel hakim yang turut dianggotai oleh hakim Lee Heng Cheong dan Hashim Hamzah.

Sarah menjawap bahawa pasukan undang-undang NFCorp juga telah menyediakan senarai kronologi penangguhan, dan menjelaskan bahawa penangguhan sebelum ini adalah atas sebab Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan di seluruh negara.

Dia kemudian memohon maaf kepada mahkamah sambil mengulangi bahawa Shafee adalah satu-satunya peguam yang diberi kuasa untuk menjalankan rayuan bagi pihak NFCorp.

Azizah kemudian menyoal berapa kos yang Public Bank mahu untuk penangguhan itu, dan Yoong berkata mereka meminta RM10,000.

Yoong juga memohon mahkamah membuat penangguhan kali ini sebagai yang terakhir, dan sekiranya Shafee terus tidak dapat menghadiri prosiding, maka perlu ada peguam alternatif untuk menjalankan rayuan bagi pihak NFCorp.

Apabila Azizah menyoal Sarah mengenai kos, peguam itu mencadangkan sebanyak RM1,000.

“Memandangkan sijil sakit Shafee, kes ditangguhkan ke tarikh lain. Ini akan menjadi penangguhan terakhir untuk rayuan ini.

"Perintah kos RM5,000 dibayar kepada responden (Public Bank) hari ini," katanya sambil menambah bahawa perkara itu akan ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya kemudian untuk menetapkan tarikh pendengaran baharu.

Pada 29 Julai 2019, NFCorp, pengerusi eksekutifnya Mohamad Salleh Ismail dan tiga anak syarikatnya gagal dalam usaha menyaman Public Bank kerana didakwa melanggar kontrak untuk melindungi kerahsiaan akaun bank mereka.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tarikh itu menolak saman oleh lima plaintif.

Selain NFCorp dan Salleh, tiga lagi plaintif ialah National Meat and Livestock Corporation Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Real Food Company Sdn Bhd.

[Baca berita penuh]