Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketika desakan bubar Parlimen, Agong lawat pusat ramalan banjir

Yang di-Pertuan Agong akan diberi taklimat berhubung situasi banjir dan cuaca akhir tahun di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), hari ini.

Jadual sesi hari ini antara lain menyebut taklimat akan disampaikan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa), Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Muhammad Helmi Abdullah.

Menurut pegawai Istana Negara yang turut hadir, pihak istana meminta taklimat diberikan agar Seri Paduka dapat menilai persediaan agensi kerajaan untuk menangani musim banjir tidak lama lagi.

Turut hadir adalah Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Difahamkan Khairy dijangka memberi taklimat berkenaan situasi Covid-19 serta persediaan Kementerian Kesihatan untuk menghadapi musim banjir.

Lawatan Baginda ini diadakan ketika desakan kepimpinan tertinggi Umno agar Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob segera membubarkan Parlimen, bagi memberi laluan kepada PRU15.

PH dan Perikatan Nasional (PN) pula berpandangan PRU15 hanya diadakan selepas musim monsun timur laut iaitu bermula November ini sehingga Mac tahun depan.

Semalam, Zaini dalam satu hantaran di Facebook berkongsi maklumat grafik yang menunjukkan ramalan hujan untuk semua 14 negeri bagi bulan Sept 2022 hingga Feb 2023.

Menurut infografik itu, Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka mengalami hujan puncak pada bulan Disember manakala negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia dijangka mencatatkan hujan paling banyak pada November.

Sementara itu, ramalan bagi Sabah dan Sarawak menyaksikan kedua-dua negeri Malaysia Timur itu menerima hujan puncak pada Feb 2023.

Ismail Sabri dijadual mengadap Yang di-Pertuan Agong pada jam empat petang hari ini sebelum kabinet bermesyuarat esok. Belanjawan 2023 kemudian dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat selepas itu.