Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KATA MP | Krisis perlembagaan jika Agong enggan bubar parlimen?

Adakah krisis perlembagaan akan berlaku jika Yang di-Pertuan Agong tolak permohonan perdana menteri untuk bubarkan parlimen?

Jawapannya tidak. Kenapa?

Pertama, jika permohonan perdana menteri untuk pembubaran parlimen ditolak, itu bermakna Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bertindak betul berdasarkan peruntukan undang-undang bawah Perkara 40 (2)(b) Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan itu menyebut YDPA boleh bertindak menurut budi bicaranya tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen.

Kedua, YDPA sebagai ketua negara perlu memikirkan kepentingan negara dan rakyat yang selalu Baginda sebut berulang kali.

Apa kepentingan negara?

Tentu sekali soal Belanjawan Negara tahun 2023 yang akan dibentangkan mengikuti jadualnya pada jam 4 petang Jumaat 7 Oktober 2022.

Bahagian VII Perlembagaan Persekutuan adalah berkenaan peruntukan kewangan.

Bawah Perkara 99(1) Perlembagaan Persekutuan disebut dengan jelas bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah, berkenaan dengan tiap-tiap tahun kewangan, menyebabkan dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat suatu penyata terimaan dan perbelanjaan yang dianggarkan bagi persekutuan untuk tahun itu.

Hal Belanjawaan 2023 adalah hal negara, hal kewangan, Hal ekonomi. Ia bukan perkara main-main. Ia juga bukan hal politik kepartian atau hal kepentingan individu.

YDPA tentu sedar bahawa Belanjawan 2023 yang telah disiapkan dengan rapi oleh Kementerian Kewangan amat wajar dibentangkan pada 7 Oktober ini, kemudian dibahaskan dan diluluskan dengan pengundian di Dewan Rakyat.

Jika parlimen dibubarkan tergesa-gesa dalam sehari dua ini, apa jadi dengan nasib Rang Undang-undang Belanjawaan 2023 tersebut?

YDPA mungkin akan bertanya kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengapa tergesa-gesa hendak bubarkan parlimen bagi mengadakan pilihan raya sedangkan urusan belanjawan negara yang dibuat atas nama Yang di-Pertuan Agong tidak diselesaikan?

YDPA juga akan memikirkan nasib rakyat jelata. Perdana menteri juga boleh ditanya kenapa hendak diadakan pilihan raya dalam musim monson tengkujuh akan melanda Malaysia dengan kemungkinan banjir besar?

Hanya Umno yang mahu

YDPA juga tentu menyedari yang mahu sangat pembubaran parlimen dengan segera sekarang untuk diadakan pilihan raya umum mengejut hanya parti Umno terutama Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.

YDPA mungkin maklum parti-parti politik lain sama ada Pakatan Harapan, PAS, Perikatan Nasional dan lain-lain kecuali Umno semuanya menolak pembubaran Parlimen mengejut dan pilihan raya umum yang tergesa-gesa.

Malah YDPA boleh mendapatkan kepastian daripada perdana menteri sama ada jemaah menteri telah buat keputusan untuk pembubaran parlimen seperti yang di bawah Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan dia mengadap YDPA untuk menasihati Baginda untuk membubarkan parlimen.

Sebenarnya Umno dan perdana menteri dari Umno ini berada dalam keadaan defensif dan lemah untuk memaksakan kehendaknya terhadap Yang di-Pertuan Agong supaya segera membubarkan parlimen bagi mengadakan pilihan raya umum awal.

Jika YDPA tegas memelihara kuasa budi bicaranya demi kepentingan negara dan rakyat maka institusi raja berperlembagaan akan dihormati dan dipandang tinggi oleh rakyat dan masyarakat dunia antarabangsa.


HASSAN ABDUL KARIM ialah anggota parlimen Pasir Gudang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.