Menteri nafi dakwaan pembangkang negara kekurangan pekerja asing
Menteri Sumber Manusia M Saravanan menafikan dakwaan beberapa pemimpin DAP mengenai kekurangan pekerja di negara ini sejak beberapa minggu lalu.
Saravanan berkata negara kini mempunyai 1.24 juta pekerja asing merupakan satu angka hampir sama sebelum negara dilanda pandemik Covid-19.
"Kita telah memberi penjelasan keseluruhan, memandangkan sebelum ini pembangkang menuduh KSM tak selesaikan isu pekerja asing.
“Dan saya telah memberi dokumen yang sah, sehingga hari ini kita telah ada 1.24 juta kebetulannya dalam keadaan biasa sebelum Covid-19.
"Pekerja asing yang ada di negara kita sebelum Covid-19 adalah 1.5 juta dan hari ini kita lihat ada 1.24 juta pekerja asing," katanya kepada pemberita di Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya.
Dia berkata demikian selepas mempengerusikan sesi taklimat khas yang turut dihadiri pimpinan DAP Lim Guan Eng, M Kulasegaran dan Ngeh Khoo Ham.
Menurut Saravanan, jumlah pekerja asing akan mungkin bertambah jika mengambil kira lebih 238 ribu pekerja asing daripada negara sumber yang telah diberikan pas segera.
"Ini tidak termasuk 640 ribu permohonan yang menunggu proses biometrik dan perubatan yang bererti pekerja asing di negara akan mencecah kepada 2.2 juta.
"Jadi, dakwaan negara sedang menghadapi masalah pekerja asing tidak benar dan cuma rekaan semata-mata oleh pembangkang," bidasnya.
Sebelum ini, Lim mengkritik menteri sumber manusia berhubung kekurangan pekerja di negara ini sejak beberapa minggu lalu.
Saravanan kemudian mencabar Lim supaya meletakkan jawatan sebagai pengerusi DAP jika dia tidak dapat menemui apa-apa yang salah dengan cara kementerian menangani isu kekurangan pekerja asing.
Saravanan berkata dia sedia meletak jawatan jika Lim dapat membuktikan dirinya sebagai menteri bersalah dalam menangani isu tersebut.
Isu ini berlanjutan apabila Lim pada 16 Sept lalu menyahut cabaran itu dan meminta Saravanan menetapkan tarikh untuk dia mengutarakan isu kritikal dan kelemahan lain yang telah melambatkan pengambilan pekerja asing.
Selain itu, Ngeh turut menyahut cabaran Saravanan, mendakwa KSM lembab dalam mengendalikan isu pekerja asing.
Sementara itu, Saravanan berkata dia akan lebih berhati-hati dalam memberi kelulusan kemasukan pekerja asing.
"Saya kena mengawal secara betul kalau tak dua perkara boleh berlaku. Yang pertama kita boleh ada pekerja asing lebih ramai seperti mana yang berlaku pada 2009. Jalan raya KL dipenuhi pekerja asing warga Bangladesh tidur di tepi jalan.
"Yang kedua, kita dalam fasa pemulihan ekonomi dan mengatasi pengangguran.
“Jangan kita terpedaya permintaan industri meluluskan pekerja asing sebab orang menekan kita akhirnya warga negara tak ada kerja.
"Seperti saya kata sebelum ini, kelulusan bergantung majikan supaya kerja-kerja tertentu untuk pekerja asing. Saya tak nak majikan ambil kesemptan, banyak dokumen palsu.
"Nasihat saya kepada semua, dikedua-dua sebelah, kalau ada orang buat aduan tak mencukupi pekerja asing buatlah sepertimana kita buat hari ini datang ke KSM semak sendiri," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai