Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden Umno beri bayangan PM menghadap Agong lusa - sumber

Pilihan raya umum ke-15 (PRU15) semakin hampir apabila Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dikatakan memberi bayangan bahawa Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob akan memohon membubarkan parlimen minggu ini. 

Seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang enggan namanya didedahkan berkata, besar kemungkinan perdana menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan untuk membubarkan parlimen Jumaat ini.

Bahkan, dia tidak menolak kemungkinan pembentangan Bajet 2023 akan ditangguhkan.

"Berdasarkan banyak diberikan presiden Umno pada pertemuan itu, perdana menteri mungkin akan memohon untuk pembubaran parlimen Jumaat ini.

Antara yang hadir dalam pertemuan di bangunan Umno semalam

"Dan tidak mustahil juga pembentangan Bajet 2023 akan ditangguhkan sekiranya pembubaran parlimen berlaku.

"Apa yang difahamkan, soal isu pembubaran Parlimen dan tarikhnya telah dipersetujui oleh top five (lima pemimpin tertinggi) Umno," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Menurut sumber, bayangan tarikh menghadap itu diberikan Zahid dalam pertemuan dengan lebih 700 pemimpin akar umbi Umno daripada seluruh negara semalam.

Pertemuan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, semalam dipercayai memperincikan tentang pembubaran parlimen yang telah dipersetujui antara pucuk pimpinan parti dengan perdana menteri.

Pada sidang media selepas pertemuan itu, Ahmad Zahid berkata, Umno menghormati kuasa perdana menteri bagi mencadangkan tarikh pembubaran parlimen supaya PRU15 dapat diadakan secepat mungkin.

Ditanya sama ada naib presiden Umno itu diberikan tempoh untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya berbuat demikian, Zahid secara berseloroh berkata ia sepatutnya dibuat semalam.

Sebelum itu, Ismail Sabri memberitahu bahawa menghadap Yang di-Pertuan Agong adalah rutin lazim buat seorang perdana menteri setiap minggu sebelum mesyuarat kabinet.

Pemimpin pembangkang sebelum ini turut membuat spekulasi bahawa parlimen akan dibubarkan esok atau lusa.

Sementara itu, sumber berkata pada pertemuan di bangunan Umno semalam, Zahid turut memaklumkan mengenai kerjasama Umno-PAS.

Katanya, PAS dijangka akan memuktamadkan pendirian sama ada akan kekal dengan Perikatan Nasional (PN) atau meneruskan kerjasama dengan Umno, minggu ini.

"Isu kerjasama dengan PAS juga turut dibangkitkan dalam pertemuan itu yang mana rundingan sedang berjalan ketika ini dan PAS dijangka memuktamadkan sama ada kerjasama dengan Umno atau sebaliknya minggu ini.

"Jika PAS kembali bersama Umno, satu himpunan Muafakat Nasional (MN) secara besar-besaran akan diadakan dalam masa terdekat," katanya.