Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Negeri ditadbir PH muktamad tak bubar DUN jika PRU15 tahun ini

Kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Harapan (PH) tidak akan membubarkan dewan undangan negeri masing-masing jika Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membubarkan parlimen dalam tempoh terdekat.

Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata, kerajaan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sebaliknya akan menumpukan perhatian kepada usaha membantu rakyat yang berdepan dengan kemungkinan banjir semasa musim tengkujuh nanti.

Menurut Anwar keputusan itu diambil selepas ia dibincangkan Majlis Presiden PH hari ini.

"Andai kata parlimen dibubar (dalam tempoh terdekat), keputusan tiga-tiga negeri ini ialah akan menumpukan perhatian menangani masalah banjir, ringankan beban mangsa banjir yang terpaksa menghadapi bencana.

"Oleh yang demikian mereka (Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan) tidak akan mengadakan pilihan raya sehingga selesai isu banjir yg dijangka (sehingga) Feb atau Mac," katanya pada sidang media di parimen hari ini.

Anwar yang juga ahli parlimen Port Dickson menambah, selepas isu banjir berlalu kerajaan negeri yang terbabit masih mempunyai masa untuk membubarkan DUN masing-masing.

"Pokoknya, kerajaan negeri PH tidak akan bersama kerajaan persekutuan andainya PRU diadakan semasa (musim) banjir kerana pada anggapan ketua menteri Pulau Pinang, menter besar Selangor, menter besar Negeri Sembilan, kita tidak harus menambah derita dan penderaan kepada rakyat yang terpaksa mengharungi masalah banjir," katanya.

Seperti menghina rakyat

Kenyataan itu dibuat ketika khabar angin yang mengatakan Ismail Sabri Yaakob akan menghadap Yang di-Pertuan Agong sehari dua lagi semakin kencang bertiup.

Pertemuan itu dikatakan untuk menyampaikan cadangan perdana menteri kepada Agong agar parlimen dibubarkan.

Gesaan agar PRU ke-15 segera dibuat datang dari Umno, khususnya pemimpin tertinggi parti itu.

Bagaimanapun selain PH, Perikatan Nasional (PN) yang membentuk kerajaan di bawah Ismail Sabri turut menyatakan bantahan kepada cadangan tersebut.

Ditanya sama ada PH bimbang peratus keluar mengundi menurun jika PRU peringkat parlimen dan negeri tidak dijalankan serentak di tiga negeri terbabit, Anwar berkata, ada hal yang lebih membimbangkan mereka.

"Saya lebih risau terhadap penderitaan rakyat semasa musim banjir ini.

"Jika kita sibuk dan bimbang tentang jumlah keluar orang mengundi dan keputusan pilihan raya, (bermakna) anda menghina rakyat.

"Kita tak boleh berterusan melakukan hal itu," katanya.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan Majlis Presiden PH berkata, mereka mengambil maklum laporan Jabatan Metereologi Malaysia yang meramalkan fenomena La Nina dan monsun timur laut akan berlarutan sehingga awal tahun depan.

Keadaan itu, katanya, bakal menyaksikan jumlah taburan hujan yang tinggi serta kemungkinan berlaku hujan lebat serta banjir di kebanyakan negeri.

"Majlis Presiden PH mengambil maklum bahawa kerajaan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang telah mempertingkat tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi musim banjir di negeri masing-masing sesuai dengan prinsip mengutama nasib rakyat berkait nyawa dan harta benda.

"Oleh itu, Majlis Presiden PH menerima pendirian menteri-menteri besar dan ketua menteri bahawa DUN bagi negeri-negeri terbabit akan dibubarkan pada tarikh yang akan diumum pada 2023," katanya.