'Interpol tak siar nama Jho Low sebab jenayah tak ancam nyawa'
Nama ahli perniagaan yang dikehendaki, Low Taek Jho (atau Jho Low) tiada di laman web notis merah Interpol kerana jenayahnya tidak dilihat sebagai mengancam nyawa atau keselamatan awam, menurut sumber polis.
Dia yang merupakan pegawai kanan polis bagaimanapun memberi jaminan bahawa PDRM sedang mencuba sedaya upaya untuk mengesan Jho Low dan membawanya ke muka pengadilan.
"Ada dua jenis notis merah Interpol. Pertama yang menyenaraikan penjenayah yang dikehendaki atas jenayah yang mengancam nyawa dan keselamatan awam, seperti keganasan, pembunuhan, rompakan dan yang berkaitan dadah. Senarai ini disiarkan di laman web notis merah Interpol dan boleh dilihat orang awam.
"Senarai kedua untuk penjenayah kolar putih - mereka yang membuat jenayah yang tidak menjejaskan keselamatan awam. Senarai ini hanya boleh diakses penguatkuasa undang-undang di 195 negara anggota Interpol," katanya kepada Malaysiakini.
Sumber enggan dinamakan kerana tidak diberi kuasa untuk bercakap dengan media berkenaan perkara ini.
Dengan berkata demikian, dia mengulang semula pendirian Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkenaan perkara ini bulan lalu.
Ketika itu, Acryl berkata polis telah memfailkan sebanyak 13 pertuduhan terhadap Jho Low walaupun tanpa kehadirannya (in absentia) dan telah memperolehi notis merah daripada Interpol terhadapnya pada 2018.
Acryl juga berkata sebanyak 195 negara anggota Interpol bertanggungjawab untuk menyalurkan maklumat bagi proses permohonan ekstradisi terhadap Jho Low.
Bagaimanapun katanya, setakat ini permohonan ekstradisi itu tidak dapat dibuat memandangkan tiada negara ahli Interpol yang mengesahkan keberadaan Jho Low di negara mereka.
'Nama salah?'
Sumber menjawab kenyataan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng hari ini yang membangkitkan ketiadaan nama Jho Low dalam laman web Interpol.
"Adakah kerajaan Malaysia memberi nama lain untuk Jho Low kepada Interpol, atau nama salah yang diberi," katanya.
Dia mengulas jawapan bertulis Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin di Parlimen bahawa notis merah Interpol kekal sebagai pilihan polis dalam usaha menjejak Jho Low.
Dia berkata kaedah itu lebih baik berbanding tawaran ganjaran kerana ia melibatkan kerjasama antara badan penguasa dan perkongsian maklumat.
Terdahulu, bekas wartawan Wall Street Journal Tom Wright dan Bradley Hope mendakwa mereka menerima maklumat yang Jho Low berada di China dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Mereka antara lain mendakwa Jho Low dikesan berada di Disneyland Shanghai pada 2019, dan isterinya Chuan Teik Ying memohon untuk menyertai Kelab Kapal Layar Diraja Hong Kong pada 2018.
Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai