Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketua Wanita PKR: Muka baru, pendekatan baru hadapi PRU15

WAWANCARA | Fadhlina Sidek sebelum ini dikenali sebagai aktivis hak wanita yang berjuang dalam sistem Mahkamah Syariah.

Bagaimanapun sejak dua tahun lalu, dia mula membuat peralihan kepada kegiatan politik.

Dia kemudian dilantik sebagai senator Dewan Negara pada 1 September 2021 dan baru-baru ini menang jawatan ketua Wanita PKR.

Ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam, Selangor, Fadhlina, 45, berazam untuk memastikan partinya yang mempopularkan slogan "Reformasi" untuk terus berkembang.

Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini, dia berkata ini bermakna pengundi boleh menjangkakan PKR akan meletakkan ramai muka baru pada PRU akan datang.

"Ini waktu yang agak sibuk untuk saya. Ya, saya telah menang dalam pemilihan parti sebagai ketua Wanita, tapi persaingannya sengit dan saya hanya menang selepas pengiraan semula (kiraan awal menunjukkan Adun Batu Tiga Rodziah Ismail menang).

"Ia adalah satu pengalaman baru untuk saya dan juga kepada ahli parti. Kita menyaksikan metodologi baru pengundian dalam talian dan selepas banyak halangan, akhirnya mereka mengumumkan saya menang dengan majoriti tipis.

"Semasa pemilihan, banyak yang saya pelajari, terutama dengan latar belakang aktivis sebelum menceburi politik. Ini benar-benar satu ufuk baru," katanya.

Fadhlina berkata selepas trauma pengkhianatan dan pembelotan 'Langkah Sheraton', PKR perlu membina semula parti dan ia perlu dilaksanakan dengan pantas.

"Saya perlu lakukan apa yang perlu. Pertama, kami perlu menyelesaikan bahagian organisasi dalam parti dan kita juga perlu bertindak selepas keputusan buruk dalam pilihan raya negeri selepas Langkah Sheraton.

"Ada langkah proaktif yang perlu kami ambil dan kami adakan banyak ceramah sekarang.

"Parti juga telah mengubah cara penganjuran ceramah. Sebelum ini, ia di kawasan bandar tetapi kini kami melawat kawasan perumahan di kejiranan yang lebih kecil seperti Taman Medan (Selangor), Batu Kawan (Pulau Pinang) dan Nibong Tebal (Pulau Pinang).

"Ini menyebarkan mesej dan idea kami kepada demografi yang berbeza," katanya.

Tambahnya, program berteraskan 'keprihatinan, dan mengarusperdanakan gender' berjaya menyatukan golongan wanita.

"Sayap wanita lebih tertumpu kepada isu wanita. Antaranya, kemiskinan dan peranan mereka dalam masyarakat. Isu banjir juga akan menjadi sangat penting. Jika pilihan raya diadakan (ketika musim banjir), ia akan memberi kesan kepada golongan wanita yang menguruskan isi rumah.

"Selain itu, parti juga sedang mengadakan sesi perjumpaan untuk memperkukuh jentera pilihan raya di peringkat pusat dan negeri, serta cabang dan akar umbi untuk PRU15," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pemuda PKR Adam Adli mengumumkan cabangnya akan mengadakan kutipan derma bagi menyediakan ‘kit banjir’ bagi menghadapi musim tengkujuh yang semakin hampir, yang dijangka bermula dari pertengahan bulan depan hingga Mac 2023.

Kepentingan memperbaharui imej

Bagi Fadhlina, tidak kurang penting adalah imej baru kepimpinan parti.

"Penyokong gembira apabila Rafizi menjadi timbalan presiden. Pasukan naib presidennya juga - Nurul Izzah Anwar dan Saraswathy Kandasamy - juga sangat muda.

"Imej kepimpinan sangat penting ketika parti mahu mendapatkan semula kepercayaan pengundi," katanya.

"Apa yang kami perlu lakukan sekarang adalah memohon maaf (kepada pengundi) atas pengkhianatan yang berlaku. Kami ada peluang untuk ada di Putrajaya (mentadbir negara) sebelum ini dan harapnya kita telah ambil pelajaran daripadanya. Kami perlu rendah diri ketika meminta sokongan mereka selepas pengkhianatan yang berlaku.

"Kami juga perlu ada dasar yang lebih berkesan dan realistik kerana ada janji yang gagal ditunaikan ketika kita mentadbir di peringkat persekutuan.

"Apa yang paling sukar adalah untuk dapatkan semula kepercayaan dan momentum. Kami ada kerisauan ini tapi kami tahu ia hanya boleh dicapai melalui kerja keras," katanya lagi.

Katanya lagi, PKR perlu mencari jalan untuk menangani isu berhubung kalangan yang dikaitkan dengan bekas pemimpin yang terlibat dalam Langkah Sheraton.

"Dalam banyak kes, mereka dilihat rapat dengan orang yang lompat tetapi mereka tak lompat dan ada di antara mereka yang bekerja kuat untuk parti. Tidak adil untuk kata mereka perlu digugurkan atau dihukum," katanya.

Fadhlina kini dalam penggal ketiganya sebagai senator.

Berkenaan pemilihan PKR, dia merasakan walaupun ia adakala berjalan dengan tegang, ia juga menjadikan parti lebih bersedia untuk melangkah ke depan.

"Saya rasa persaingan antara kem pulih dengan cepat. Persaingan dan pertandingan idea adalah biasa dalam mana-mana parti. Apa tawaran anda kepada parti? Kita perlu buat kerja kita dan fokus terhadap pembaharuan dan perubahan.

"Menerusi maklum balas daripada kempen Ayuh Malaysia, saya percaya kami dapat fokus dan meraih kembali kepercayaan. Ya, ada halangan tetapi saya harap kami akan dapat peluang.

"Kami jalani kempen yang panjang, tetapi saya nikmati semuanya dan banyak belajar daripada ahli parti, terutama di peringkat akar umbi. Amat hebat untuk lihat semangat masih kuat selepas pengkhianatan," katanya lagi.

Calon kuat untuk PRU15

Selain meletakkan pemimpin kanan di kerusi kalangan yang melompat, Fadhlina berkata ada rundingan lain yang sedang dibuat untuk kerusi melibatkan calon dari Wanita PKR.

"Kami menanganinya dengan minda terbuka. Kami tak akan tolak pilihan, tetapi kami juga tak akan terima untuk bertanding di kerusi sukar begitu saja," katanya lagi.

Katanya, antara fokus berkaitan kerusi di Kuala Lumpur dan Selangor adalah kerusi yang dipegang 'pengkhianat' dan yang dimenangi Bersatu pada PRU lalu.

Dia berkata kaji selidik terbaru oleh Merdeka Center menunjukkan undi golongan wanita adalah sangat penting.

"Pengundi muda dan wanita sangat penting. Kita mesti ambil peluang ini untuk berhubung dengan mereka."

Katanya lagi, jawatan dalam parti bukanlah jaminan untuk dicalonkan.

"Anda tak secara automatik akan dapat kerusi, sama ada anda senator, pemimpin peringkat negeri, atau ketua cabang. Anda perlu buat kerja dan mewakili akar umbi.

"Satu perkara yang perlu diambil kira pengundi adalah pengalaman. Adakah mereka akan undi parti yang akan bentuk kerajaan dan pemimpin yang boleh berkhidmat?" katanya lagi.

[Baca berita asal]