Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

LHDN tarik rayuan berkaitan cukai RM10.3 juta terhadap Najib

Saman yang difailkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menuntut RM10.3 juta yang dikatakan merupakan cukai tertunggak daripada Nooryana Najwa Najib "telah diselesaikan".

Ia selepas LHDN menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 26 Ogos 2020 untuk tidak membenarkan penghakiman ringkas terhadap anak bekas perdana menteri Najib Razak itu.

Rayuan itu pada mulanya dijadualkan didengar hari ini.

Menurut peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Nooryana, masih ada satu tindakan yang difailkan LHDN terhadap Nooryana di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

"Secara keseluruhan, isu cukai telah diselesaikan. Berkenaan saman (di Mahkamah Tinggi) Shah Alam, tarikh perbicaraan telah dikosongkan namun proses pembatalan secara rasmi masih belum tamat," katanya.

Pada 24 Julai 2019, LHDN memfailkan writ saman terhadap Nooryana bagi menuntut RM10.3 juta cukai yang belum dibayar untuk tahun taksiran 2011 hingga 2017.

Nooryana bagaimanapun mempersoalkan tindakan mengenakan cukai bagi wang yang didakwanya diberikan oleh suaminya, Daniyar Kessikbayev dan keluarga.

Dalam satu hantaran di Instagram hari ini, dia berkata kesnya telah "selesai".

"Kami sudah selesaikan kes cukai saya selepas ejen cukai saya dan LHDN meneliti kes dan mereka akhirnya setuju yang wang hantaran, nafkah dariapda suami, dan rumah yang dibeli sepenuhnya oleh mentua saya menggunakan wang di luar negara tidak boleh dicukai.

"Sama seperti kes cukai RM1.7 bilion bapa saya yang mengarut itu, satu-satunya objektif kerajaan PH adalah untuk menganiaya keluarga saya melalui LHDN walaupun ia melanggar undang-undang dan peraturan, bergantung kepada salah guna klausa 'bayar dulu, bincang kemudian'," katanya.

Selain Nooryana, LHDN turut memfailkan tindakan sivil untuk menuntut RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada anaknya, Mohd Nazifuddin.

Najib dan Nazifuddin kini sedang merayu kepada Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan penghakiman ringkas terhadap mereka.

Terdahulu, LHDN turut menyelesaikan saman tuntutan cukai berjumlah RM13.16 juta terhadap seorang lagi anak Najib iaitu Mohamad Nizar.

Menurut Najib, jumlah yang perlu dibayar Nizar "jauh, jauh, jauh lebih rendah" daripada jumlah yang dituntut LHDN.


Sementara itu, Bernama melaporkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menarik balik rayuannya, yang difailkan di Mahkamah Rayuan, berhubung samannya terhadap anak bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa bagi mendapatkan RM10.3 juta cukai pendapatan tidak dibayar.

Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Nooryana Najwa berkata LHDN memfailkan notis untuk tidak meneruskan rayuan itu pada Isnin.

“Anak guam kami telah menyelesaikan kes cukainya selepas ejen cukainya dan LHDN berbincang mengenainya," katanya semasa dihubungi hari ini.

Wee berkata rayuan LHDN yang dijadualkan didengar hari ini.

LHDN merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 Ogos 2020 yang menolak permohonannya untuk mendapatkan penghakiman terus terhadap Nooryana Najwa bagi mendapatkan semula RM10.3 juta cukai pendapatan yang belum dibayar.

Pada 24 Julai 2019, kerajaan Malaysia memfailkan writ saman dan penyataan tuntutan menerusi LHDN, di Mahkamah Tinggi, menamakan Nooryana Najwa selaku defendan.

Menurut penyataan tuntutan, LHDN mendakwa Nooryana Najwa gagal mengemukakan Borang Nyata Orang Perseorangan mengikut Seksyen 77 Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Taksiran 2011 sehingga 2017.

LHDN mendakwa sehingga kini, defendan masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang termasuk dengan kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM10,335,292.36.