Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Saya nak PM menghadap Agong semalam - Zahid

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu menghormati kuasa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi mencadangkan mengenai tarikh pembubaran Parlimen supaya pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dapat diadakan secepat mungkin.

Ditanya sama ada naib presiden Umno itu diberikan tempoh untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya berbuat demikian, Zahid secara berseloroh berkata ia sepatutnya dibuat semalam.

"Saya bagi tahu saya nak semalam," katanya pada sidang media selepas majlis taklimat khas Umno, di Kuala Lumpur, hari ini.

Ismail Sabri tidak bersama pada sidang media tersebut meskipun menghadiri majlis taklimat tertutup itu bersama dan dilaporkan turut menyampaikan ucapan.

Ditanya jika benar perdana menteri dijadualkan menghadap Seri Paduka pada Khamis ini untuk memhon Parlimen dibubarkan segera, sekali lagi Zahid memberi jawapan yang samar-samar.

"Saya tak mimpi tarikh itu," katanya ringkas.

Awal hari ini, Ismail Sabri memberitahu bahawa mengadap Yang di-Pertuan Agong adalah rutin lazim buat seorang perdana menteri.

"Menghadap Agong? Saya menghadap setiap minggu sebelum mesyuarat kabinet.

“Iaitu, macam minggu ini kalau waktu parlimen, kabinet hari Jumaat, hari Khamis saya jumpa.

"Kalau hari Rabu mesyuarat kabinet, hari Selasa saya jumpa.

“Perjumpaan dengan Seri Paduka lebih kepada kertas mesyuarat kabinet," kata perdana menteri.

Sementara itu, mengulas lanjut soalan sejauh mana Umno-BN akan tetap mengadakan PRU15 dalam tahun ini, Zahid yang juga adalah pengerusi BN menegaskan perkara itu telah diputuskan secara rasmi oleh Umno.

"Pada 30 September lalu parti telah buat keputusan rasmi iaitu PRU wajib diadakan tahun ini," katanya.

Selain itu, Zahid berkata, Umno juga akan memulakan perbincangan dan rundingan berhubung calon PRU15 pada Isnin depan.

"Minggu depan kita akan mula berbincang dan membuat rundingan iaitu Isnin depan," katanya.

Menurutnya, pemilihan calon-calon bagi PRU15 kali ini juga mesti mengikut kriteria sekali gus tiada calon-calon yang dipilih yang mengikut kluster-kluster tertentu.

"Untuk pemilihan calon pada kali ini, pengerusi-pengerusi perhubungan negeri akan mengemukakan nama-nama calon berkenaan kepada 'Top 5' bagi penentuan calon yang memenuhi kriteria.

"Tiada calon mengikut kluster tertentu dan yang penting, calon Umno yang memulakan panji-panji Barisan Nasional (BN)," katannya.

Terdahulu, Ismail Sabri dan Zahid mengadakan pertemuan khas dengan 191 sayap bahagian parti itu secara tertutup.