Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Speaker tolak usul tergempar bahas krisis ekonomi

PARLIMEN l Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun berkata tidak keperluan bagi mengadakan perbahasan tergempar mengenai krisis ekonomi kerana sesi semasa persidangan akan ditumpukan kepada Bajet 2023 mulai minggu depan.

Beliau berkata demikian ketika menolak usul yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim agar ahli parlimen membahaskan isu itu hari ini dan supaya Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menjawab masalah yang dibangkitkan.

“Saya maklum menerima surat anda kepada perdana menteri mengenai usul yang dikemukakan.

"Saya juga menerima salinan usul anda untuk membahaskan perkara berikut, '[...] mengenai ekonomi, melibatkan krisis kenaikan harga dan kejatuhan ringgit yang menjejaskan rakyat," kata Azhar.

“Saya dapati tidak perlu menyegerakan usul atas sebab-sebab seperti yang dinyatakan dalam surat saya kepada tuan hari ini antara lain kerana isu itu sudah lapan kali dibahaskan di Dewan ini termasuk melalui usul tergempar.

“Malah hari ini sendiri ada dua perkara berkaitan dibangkitkan dan telah dijawab dengan panjang lebar,” katanya.

Azhar juga berkata sesi semasa akan menyaksikan 23 hari bagi membahaskan Bajet 2023, dengan menyatakan keyakinan bahawa perkara berkaitan usul itu akan dibangkitkan dan dijawab dalam masa terdekat.

“Oleh itu saya terpaksa menolak usul itu,” kata Azhar.

Anwar bagaimanapun menyatakan perbahasan Bajet 2023 akan lebih tertumpu kepada perbelanjaan masa depan, manakala sesi waktu soalan hanya memberi ruang kepada menteri menyampaikan "syarahan ekonomi" tanpa sebarang ruang untuk perbahasan.

Secara berasingan, Steven Sim (PH-Bukit Mertajam) meminta Azhar menyampaikan ketetapan bagi menasihatkan Ismail Sabri supaya tidak membubarkan parlimen sehingga Bajet 2023, yang akan dibentangkan Jumaat ini, dibahas dan diluluskan.

"Saya harap kita boleh minta perdana menteri memberi jaminan bahawa perbahasan bajet akan diteruskan sehingga selesai semua proses dan kemudiannya diluluskan," katanya.

Dalam jawapannya, Azhar berkata kuasa memperuntukkan bilangan hari bagi perbahasan bajet terletak di tangannya dan bukan Ismail Sabri.

Pada masa yang sama, dia berkata perbahasan akan diteruskan selagi Parlimen bersidang, dan adalah di luar kuasanya untuk memastikan Dewan Rakyat tidak dibubarkan.

[Baca berita penuh]