Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

‘Rekrut baru PBM selamat, akta antilompat belum berkuat kuasa’

PARLIMEN l Pindaan perlembagaan untuk menghukum wakil rakyat yang melompat parti adalah antara akta yang telah mendapat perkenan diraja daripada Yang diPertuan Agong.

Bagaimanapun, ini menimbulkan persoalan sama ada pusingan terbaru lompat parti menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) bercanggah dengan undang-undang baru itu.

Pertama, perlu difahami bahawa perkenan diraja tidak bermakna undang-undang itu berkuat kuasa. Menurut laman web Warta Kerajaan Persekutuan, pindaan itu belum berkuat kuasa.

PBM pada hari Ahad mengalu-alukan ahli Parlimen Segamat Edmund Santhara Kumar dan ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar menyertai parti tersebut.

Kedua-dua Santhara dan Xavier dipilih atas tiket PKR pada 2018, tetapi meninggalkan parti itu pada 2020. Santhara kemudian menyertai Bersatu, manakala Xavier pula menjadi ahli parlimen bebas pro-Perikatan Nasional.

Akta anti-lompat turut menghukum mereka wakil rakyat Bebas yang menyertai parti dan ahli Parlimen yang bertukar parti, dengan membatalkan kelayakan mereka serta membuka jalan supaya pilihan raya kecil diadakan.

Bagaimanapun memandangkan akta itu belum berkuat kuasa, kedua-dua mereka mungkin selamat buat masa ini.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Bercakap pada sidang media, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberi jaminan bahawa undang-undang anti-lompat parti akan dikuatkuasakan sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Sementara itu, Teresa Kok (PH-Seputeh) turut membangkitkan perkara rekrut terbaru PBM kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

"Adakah pengumuman PBM masih sah?" dia bertanya.

Bagaimanapun, Kok tidak memetik sebarang peraturan tetap ketika mengemukakan soalannya kepada speaker.

Berdasarkan alasan itu, Azhar tidak membuat sebarang keputusan atau ulasan mengenai perkara itu.


Laporan Fion Yap, Kow Gah Chie, dan Zikri Kamarulzaman