Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Serapah politik baju Melayu dan berahi Burberry

ULASAN | Selepas seminggu, isu bahasa Melayu bergema dalam sidang dunia di New York tidak lagi kedengaran. Pada 24 Sept lalu negara diberitahu perdana menteri berucap dalam bahasa Melayu dengan gaya tersendiri.

Pejuang bahasa, pensyarah dan pemimpin persatuan bahasa-sastera juga riuh di media sosial untuk melahirkan keseronokan apabila perdana menteri berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dalam bahasa Melayu.

Mereka juga bangga apabila Ismail Sabri Yaakob berpakaian baju Melayu dan bersongkok di atas pentas. Ia lalu dikaitkan dengan tindakan menjulang maruah negara di persada dunia.

"Inilah perdana menteri contoh," tegas mereka.

Mengikut perkiraan orang berkenaan, Ismail Sabri merupakan simbol seorang pemimpin yang menjulang maruah Melayu, yang sanggup mati demi martabat Melayu. Mereka memuji pembesar negara secara berjemaah sebagai tokoh yang tahu menilai keberadaan bahasa Melayu.

Media utama menyiarkan tulisan pegawai kanan birokrat seni yang memuji dan memuja perdana menteri. Media sosial memuatkan reaksi 'mi segera' daripada pelbagai pihak yang kononnya berjuang untuk bahasa dan sastera kebangsaan.

Riuh-rendah pujian mereka membuatkan Ismail Sabri seolah-olah tidak pernah ada dosa pada identiti Melayu. Pakar bahasa, pensyarah dan pejuang Melayu ikut terperangkap dalam permainan mengolah pemikiran massa yang menjulang ketuanan Melayu.

Sejak berdekad lamanya ketuanan Melayu dan ketuanan Islam sudah diperalatkan untuk mengambil hati rakyat. Selama 60 tahun rakyat Malaysia ditipu dan ditindas atas lakonan Melayu dan Islam.

Imej Melayu

Apa yang berlaku di PBB baru-baru ini adalah - buat seketika - Ismail Sabri berjaya mewujudkan imej Melayu Islam kononnya di peringkat dunia. Buat seketika juga dia berjaya melupakan orang ramai tentang baju yang digayakannya semasa bertemu dengan pemimpin dari Singapura di Tokyo, Jepun, beberapa bulan lalu.

Baju itu khabarnya dari jenama mewah syarikat Britain dan dikhabarkan berharga RM5,500 sehelai. Jika benar, baju itu dibuat di Itali, menggunakan kapas tenunan Itali dan mempunyai butang mutiara.

Baju Ismail Sabri semasa jumpa pemimpin Singapura itu sama seperti dipakai personaliti Caleb McLaughlin. Lebih mengejutkan, Twitter Netflix Malaysia yang mempromosi siri rancangan ‘Stranger Things’ memuat naik satu video pendek Caleb McLaughlin memakai baju corak yang sama seperti baju Ismail Sabri.

Corak baju itu sama sekali tidak menggambarkan sebarang imej Melayu. Batik Malaysia atau batik Indonesia tidak bercorak kasar macam kepak gagak itu.

Ia dilupakan langsung oleh ramai orang hanya kerana Ismail Sabri berbaju Melayu dan berucap dalam bahasa Melayu di PBB.

Tokoh dan makhluk yang kononnya pejuang bahasa Melayu bagaikan pasukan koir di gereja Vatican - bersuara dan memuji perdana menteri. Hal itu tidak memeranjatkan kerana mereka jugalah yang berkonvoi menziarahi pemimpin negara ketika seseorang itu berkuasa, dan melupakan jasa apabila tokoh berkenaan tidak berkuasa lagi.

Mereka membodek kerana membodek sudah menjadi sebahagian daripada ciri-ciri 'intelektual' bani Melayu.

Pejuang bahasa seperti itulah juga yang berpakat untuk menghadap Dr Mahathir Mohamad ketika Pakatan Harapan (PH) berkuasa selepas Mei 2018. Apabila gagal menunjukkan muka di depan Mahathir, mereka berduyun-duyun pula ke pejabat Anwar Ibrahim di Petaling Jaya, kononnya untuk membincangkan isu Melayu, bahasa dan peradaban.

Ketika Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri, golongan yang sama itulah pula merancang menemui presiden Bersatu berkenaan. Selepas tidak berjaya, mereka menghadap seorang menteri yang sudah beberapa kali melompat parti.

Naratif palsu

Golongan terbabit hanyalah anai-anai yang menggunakan isu bahasa dan sastera sebagai alat tunggangan demi memenuhi kepentingan peribadi.

Apabila Ismail Sabri berbaju Melayu dan berucap dalam bahasa Melayu di PBB, kisah Burberry yang disarung oleh susuk tubuh yang sama segera dilupakan. Mak cik pak cik yang berada di luar bandar mungkin tidak tahu - dan tidak peduli - pun mengenai Burberry.

Bagi Melayu yang terbeli naratif palsu mengenai 'kejahatan bangsa asing' selama berdekad-dekad menjadi sangat terbuai oleh seorang Ismail Sabri berbaju Melayu, berbahasa Melayu.

Bagi mereka, mustahil Cina DAP akan memperjuangkan bahasa Melayu kerana mereka 'rasis'. Melayu yang sama enggan mengambil tahu bahawa DAP menggunakan bahasa Melayu dalam ucapan utama semasa kongres kebangsaan berlangsung.

Ustaz jadi-jadian pula menjaja kisah orang "bukan Melayu pemberi rasuah".

Pada masa sama, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang sepatutnya diberi amanah untuk menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu - malangnya - sehingga kini tidak diberi kuasa untuk bertindak terhadap pencemar bahasa Melayu.

Sekadar Ismail Sabri berucap dalam bahasa Melayu tidak semestinya dia berjuang untuk kepentingan bahasa. Ismail Sabri ialah alat politik. Dia adalah ahli politik, bukan ahli bahasa. Orang politik berfikir dan bertindak untuk kuasa dan kekuasaan.

Politik adalah sifir untuk menghalalkan cara bagi mencapai matlamat.

Terus bermimpi

Ahli bahasa, sarjana, pejuang sastera dan cendekiawan bukan sekali dua diperdaya oleh ahli politik. Bukan sekali dua juga mereka dipergunakan untuk orang politik mengekalkan kuasa.

Ismail Sabri ke PBB berjaya untuk menonjolkan sikap kecintaan bahasa Melayu tetapi orang ramai juga masih tertanya-tanya adakah rombongan ke New York itu benar-benar untuk menjulang bahasa Melayu atau mencari jalan mengekalkan kuasa sesetengah orang Melayu.

Hal itu kerana, pemergian Ismail Sabri turut disertai pemimpin Umno yang tidak ada kaitan dengan tujuan rasmi kunjungan ke PBB.

Adakah mereka ke New York kerana kecintaan kepada bahasa Melayu? Adakah pemergian tersebut ditanggung oleh wang sendiri atau mereka menyedut saki-baki rezeki yang ada di dalam poket kita.

Kita tahu apabila mereka ke New York, sesetengah orang sedang menekan Ismail Sabri untuk membubarkan parlimen. Membuka jalan untuk PRU bukanlah isu bahasa, tetapi kuasa.

Ketika ahli bahasa, sarjana dan penggiat sastera memboleh perdana menteri, mereka tidak sedar bahawa lakonan politik sebenarnya sedang melacurkan bahasa Melayu di sidang dunia itu.

Dalam keadaan begitu, marilah kita terus bermimpi lagi. Kita berkhayal tentang nasib bahasa Melayu yang kononnya semakin bermaruah. Kalau mahu lebih nikmat, kita anggap saja Ismail Sabri sudah memacakkan DBP di PBB.

Lantaklah berapa wang dibelanjakannya untuk menyarung baju Burberry untuk menggilap citra sendiri di mata pemimpin luar. Abaikan juga kisah nazak orang ramai kerana merudumnya nilai ringgit Malaysia ketika orang politik menjadi monyet bercakaran.

Kerana kita mungkin percaya nasib bangsa dan bahasa Melayu sedang diperkasakan oleh deretan baju Burberry.


IMLAN ADABI ialah wartawan dan penulis yang tiada kluster mahupun kasta.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.