Pelancong sakit di Perhentian, isu kumbahan masih tak ditangani - PH
Pengerusi PH Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menyatakan kesal dengan kejadian sekumpulan pelancong yang jatuh sakit selepas berenang di perairan Pulau Perhentian, baru-baru ini.
Raja Kamarul Bahrin berkata insiden sedemikian tidak sepatutnya berlaku bawah pentadbiran kerajaan yang dipimpin parti berasaskan Islam.
"Dalam Islam, kebersihan adalah sebahagian besar dari keimanan dan oleh itu semua pihak perlu memberi penekanan dan keutamaan utama kepada penjagaan kebersihan,” katanya.
Terdahulu, dilaporkan percutian tiga malam ke Pulau Perhentian Kecil sekumpulan 40 pelancong berakhir sebagai mimpi ngeri apabila mereka jatuh sakit selepas berenang di perairan berkenaan.
Beberapa orang cirit-birit serta demam tinggi sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital dan ada yang dijangkiti typhoid, dikatakan berpunca dari sumber air dan makanan kotor.
Ada juga dilaporkan mengalami jangkitan kuman dalam darah.
Jun lalu, insiden sama berlaku melibatkan enam pelancong yang mandi di pantai Pulau Perhentian.
Dalam kenyataan hari ini, Raja Kamarul Bahrin berkata sikap tidak bertanggungjawab dan kelemahan pentadbiran kerajaan dalam menjaga kebersihan menjejaskan industri pelancongan.
"Sikap tidak profesional amat malang serta mendukacitakan kerana pelancongan adalah sumber pendapatan utama Terengganu dan juga Malaysia, yang nyawa (serta) kesihatan perlu diutamakan," katanya.
Katanya, seorang exco telah mengakui kebanyakan pusat pelancongan serta hotel di Pulau Perhentian tidak mempunyai sistem air kumbahan pembuangan najis manusia.
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini tiada tindakan yang diambil.
"Dalam masa yang sama tiada janji tindakan atau langkah susulan untuk menyiasat kes yang lepas sehingga berlaku insiden yang lebih serius kali ini.
"Kerajaan yang bertanggungjawab akan menyiasat punca dan sebab berlaku insiden yang lepas demi keselamatan pelancong dan orang tempatan,” katanya.
PH Terengganu menuntut penjelasan segera Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar serta Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan Alias Razak berkaitan insiden berulang itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai