Anwar usul bincang kenaikan harga barang, kejatuhan nilai ringgit
Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim mengemukakan usul kepada Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun hari ini supaya membincangkan permasalahan ekonomi yang melibatkan krisis kenaikan harga barang dan kejatuhan parah mata wang negara.
Katanya, perkara itu perlu disegerakan kerana kedua-dua isu berkenaan telah menjejaskan kehidupan rakyat dan teramat memberi kesan kepada mereka dan negara.
“Kenaikan harga barang yang mendadak dan kejatuhan nilai mata wang negara terkini memberi kesan terus kepada rakyat baik secara jangka pendek dan jangka panjang.
“Saya berharap usul ini mendapat pertimbangan sewajarnya dari Yang di-Pertua Dewan Rakyat,” katanya menerusi satu hantaran Facebook hari ini.
Selasa lalu, Anwar berkata dia telah mengutus surat kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menggesanya membawa usul perbahasan masalah ekonomi negara apabila Dewan Rakyat bersidang bermula Isnin, minggu depan.
Beliau berkata, permasalahan itu ternyata mengesankan rakyat serta negara dan ia perlu ditangani dengan kadar segera.
Ringgit menjunam ke paras terendah dalam tempoh 24 tahun berbanding dolar AS - yang mengalami peningkatan berikutan kenaikan kadar faedah.
Sementara itu, pelbagai faktor termasuk kejatuhan nilai mata wang dan perang di Ukraine, telah memberi kesan berpanjangan terhadap harga barang.
Sidang Dewan Rakyat akan bermula Isnin depan dengan usul kerajaan menjadi keutamaan pada minggu pertama persidangan.
Bagaimanapun, di bawah peraturan parlimen, perdana menteri boleh menjadikan perbahasan krisis ekonomi sebagai agenda dalam dewan daripada membahaskan rang undang-undang kerajaan.
Kerajaan juga boleh memutuskan untuk memberi laluan kepada ahli parlimen untuk membawa perkara untuk dibahaskan.
Turut menjadi tumpuan minggu depan adalah pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 atau Belanjawan 2023.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai