Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ramai kanak-kanak tak tahu mereka jadi mangsa eksploitasi seksual

Seorang hakim berpendapat, penting untuk kanak-kanak di negara ini diajar pendidikan seks bagi membolehkan golongan terbabit menyedari apabila mereka menjadi mangsa eksploitasi atau penderan seksual.

Bercakap pada forum anjuran Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) hari ini, M Kunasundary berkata dia sudah berhadapan dengan banyak kes seumpama itu.

Hakim mahkamah sesyen yang ditugaskan di mahkamah khas untuk jenayah seksual terhadap kanak-kanak itu memberitahu keadaan tersebut lebih banyak dialami kanak-kanak yang tidak terdedah kepada pendidikan dan kesedaran.

"Sangat bagus apabila perkara ini dibawa ke peringkat tertinggi," katanya semasa perbincangan panel bertajuk Eksploitasi dan Penderaan Seksual Dalam Talian Kanak-kanak - Mengganggu Kemudaratan di Malaysia hari ini.

Forum itu merujuk kepada cadangan agar kanak-kanak Malaysia diajar pendidikan seks.

Kata Kunasundary, di negara ini ada kanak-kanak yang tidak tahu atau tidak menyedari bila mereka sebenarnya sedang dieksploitasi secara seksual, atau didera secara seksual.

“Dan ini adalah hal yang sangat menyedihkan apabila mereka tidak tahu apa yang telah mereka lalui, apa yang mereka diminta lakukan... bahawa apa yang mereka lakukan sendiri adalah sebahagian daripada eksploitasi dan penderaan seksual.

"(Hanya) kemudian apabila mereka menyedari bahawa mereka telah dieksploitasi dan didera secara seksual, mereka akan sangat terkesan. Anda boleh melihat hal itu di mata mereka," katanya.

Kunasundary adalah antara enam pakar yang dijemput untuk berucap dalam forum itu yang diadakan sempena pelancaran pembentangan laporan Disrupting Harm in Malaysia.

Ia adalah laporan tinjauan mengenai eksploitasi dan penderaan seksual kanak-kanak yang dialami secara dalam talian di negara ini.

Panelis lain ialah penyelaras penyelidikan undang-undang ECPAT International, Andrea Varrella; perunding penyelidikan Unicef, ​​Marium Hussein; Kenny Kamal (Pengerusi Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia); Smita Mitra (Interpol); dan Muhammad Amirul Hafiz Rosly (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia).

Semasa bahagian awal perbincangan, Andrea menegaskan tinjauan mendapati majoriti kanak-kanak di negara ini tidak pernah menerima pendidikan seks.

Katanya ramai daripada kanak-kanak yang ditemui penyelidik juga tidak tahu ke mana mereka harus pergi jika sesuatu berlaku ke atas diri masing-masing.

[Baca berita penuh]