Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

UiTM - Zakaria hanya berucap pada taklimat pengambilan pelajar

Pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjelaskan bahawa taklimat kemasukan sesi ke-2 institusi pengajian tinggi itu terhadap bakal pelajar di kawasan Parlimen Simpang Renggam akan dilakukan oleh bahagian pengambilan pelajar (BPP) dan bukan oleh ketua Umno bahagian, menurut bahagian komunikasi korporat UiTM.

“Taklimat dilakukan sepenuhnya oleh BPP (bahagian pengambilan Pelajar) dan bukan seperti yang dinyatakan.

“Datuk Zakaria hanya akan berikan ucapan aluan sebab taklimat dilakukan di Dewan Muafakat, Simpang Renggam,” kata bahagian komunikasi korporat UiTM kepada Malaysiakini hari ini.

Sebelum ini, terdapat poster yang mempamerkan gambar ketua Umno bahagian Simpang Renggam Zakaria Dullah, yang menjemput ke program taklimat kemasukan sesi ke-2 UiTM di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam, Johor (MDSR), bertarikh 29 Sept (esok).

Poster berkenaan memaklumkan taklimat itu berkenaan penerangan program yang ditawarkan di UiTM dan hala tuju bakal pelajar selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Makluman penting: Pada yang telah layak tetapi permohonan gagal, ketika inilah pemohon-pemohon ini perlu hadirkan diri untuk terus diterima masuk.

“Pada yang tak dapat peluang mohon dan inilah masa untuk rebut peluang. Jangan lupa temujanji kita,” menurut hantaran Facebook Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu Simpang Renggam.

Sementara itu, satu lagi poster dimuat naik (gambar, atas) sehari sebelum sesi talimat berkenaan yang memaparkan majlis tersebut anjuran daripada Menteri Besar Johor Onn Hafiz, Zakaria dan ketua penerangan Umno bahagian Simpang Renggam Abd Mutalip Abd Rahim, dengan kerjasama BPP UiTM Shah Alam.

Terdahulu, Malaysiakini cuba mendapatkan penjelasan daripada pihak Zakaria berhubung perkara ini namun tidak berjaya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik (gambar, atas) menyoal jika Zakaria akan memberikan taklimat pengambilan pelajar baru tersebut.

“Ini merupakan tabiat BN mempolitikkan pendidikan demi kuasa. Perlu dihentikan kerana ianya menghina kemuliaan akademik.

“Satu lagi, kita nak tahu juga apa kelulusan ketua bahagian Umno ini sehingga UiTM terdesak memanggil beliau? Apakah UiTM ketandusan cerdik pandai?,” soal bekas menteri pendidikan itu.