Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Kerajaan dalam usaha kendali kesalahan dadah dalam konteks berbeza'

Usaha sedang berjalan bagi menangani jenayah, terutama berkaitan dadah, menerusi konteks berbeza, menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

"Kita sedang melihat undang-undang secara keseluruhan, usaha kita contohnya mansuhkan hukuman mati mandatori adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk melihat beberapa kesalahan, termasuk kesalahan dadah, dalam konteks berbeza.

"Malah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pun sekarang ini banyak menumpukan kepada rawatan dan bukannya hukuman,” katanya kepada pemberita selepas acara pengagihan peruntukan kepada NGO berkaitan kesihatan mental di Putrajaya, hari ini.

Katanya, penggunaan ganja untuk perubatan sudah menjadi perbincangan di negara ini maka pendekatan berkaitan tindakan hukuman juga perlu berubah berdasarkan penyelidikan semasa.

Pada akhir Ogos lalu, Khairy mengadakan lawatan ke Government Pharmaceutical Organisation (GPO) di Bangkok, Thailand di mana dia diberi taklimat berkenaan dasar ganja perubatan di negara itu.

Dua bulan sebelumnya, Thailand menjadi negara Asia Tenggara pertama yang membenarkan penanaman dan pemilikan ganja perubatan.

Selepas kunjungan itu, Khairy berkata Malaysia berminat untuk belajar lebih lanjut daripada Thailand, terutama berkenaan aplikasi berdasarkan bukti dan produk farmaseutikal berkaitan ganja untuk perubatan.

Sementara itu, dia berkata Kementerian Kesihatan sentiasa berusaha menambah baik perkhidmatannya, terutama berkenaan kesihatan mental.

Tahun lalu, katanya, peruntukan kementerian untuk kesihatan mental meningkat sebanyak 11 peratus.

"Kami minta tambahan 2.5 peratus lagi dalam belanjawan tahun depan. Jadi semua ini termasuk gaji kepada pakar kita dan semua kakitangan berkaitan kesihatan mental," katanya lagi.