Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Peguam: Teknologi, pembaharuan boleh tambah baik proses mahkamah

Perbicaraan kes-kes berprofil tinggi kerana membabitkan orang terkemuka menarik perhatian ramai kepada proses mahkamah yang ada di negara ini.

Beberapa pemerhati berpendapat, wujud keperluan untuk mempercepat proses perbicaraan yang berpanjangan kerana kebanyakan kes itu masih berlanjutan selepas bertahun-tahun.

Ada antara kes terbabit sedang menunggu keputusan rayuan di mahkamah yang lebih tinggi.

Peguam Samantha Chong berkata terdapat banyak kerenah dalam sistem sedia ada dan pemegang taruh dalam proses itu kekurangan kakitangan, selain terlalu banyak tugasan sehingga menyebabkan kelewatan kes dalam pelbagai peringkat.

Salah satu cara untuk mempercepatkan proses perbicaraan, katanya, adalah dengan beralih lebih banyak kepada sistem dalam talian yang lebih meluas seperti di Singapura.

Samantha Chong

Ketika ini, kata Chong, sebarang dokumen berkaitan sesuatu kes mestilah diserahkan dalam bentuk salinan fizikal, termasuk dokumen yang ingin digunakan oleh pihak pendakwaan dalam perbicaraa.

Disebabkan isu tenaga kerja, katanya, tindakan menyalin sejumlah besar dokumen dan menyerahkannya kepada pihak lain boleh mengambil masa antara satu hingga tujuh bulan.

“Buat dalam talian sahaja. Semua firma guaman didaftarkan secara dalam talian, mahkamah juga mempunyai semua e-mel mereka, atau mereka juga boleh menghubungi Majlis Peguam (untuk maklumat hubungan).

“Mengapa kita tidak boleh menggunakan teknologi?

"Kita boleh belajar dari Singapura, mereka sudah melakukan proses begini.

"Hantar sahaja melalui e-mel dan kita tak perlu menebang begitu banyak pokok (untuk menghasilkan kertas),” kata Chong kepada Malaysiakini semalam.

Elak juga tergesa-gesa

Dalam kes jenayah, menurutnya, proses pengurusan kes boleh mengambil masa antara empat hingga sembilan bulan untuk diselesaikan mulai hari seseorang individu didakwa.

Hal itu kerana memang menjadi amalan biasa untuk pihak pendakwaan akan mendakwa suspek dan kemudian menunggu laporan – seperti bedah siasat, ahli kimia dan sebagainya – disiapkan oleh agensi atau jabatan berkaitan.

Sekali lagi, kata Chong, jabatan yang terbabit cenderung terbeban dan kekurangan sumber teknologi, menyebabkan laporan mereka tertunda beberapa bulan.

Bagaimanapun, dia memuji mahkamah kerana membuat beberapa inisiatif yang cemerlang untuk menambah baik sistem sedua ada, seperti memperkenalkan sistem e-filing untuk memudahkan peguam memfailkan tuntutan mahkamah.

Andrew Khoo

Seorang lagi peguam, Andrew Khoo, juga bersetuju bahawa badan kehakiman cuba melaksanakan beberapa pembaharuan supaya proses mahkamah dapat dipercepatkan.

Dia menambah badan kehakiman telah mengehadkan rayuan terhadap perkara interlokutori (perantaraan) dan telah menggunakan pengurusan kes yang lebih ketat.

Selain itu, Khoo berkata mereka juga telah berusaha untuk meminimumkan ruang untuk penangguhan sesuatu proses.

“Bagaimanapun, kita itu perlu mempertimbangkan bahawa ketidakadilan mungkin tidak dapat dilaksanakan jika sesuatu perbicaraan dilangsungkan secara tergesa-gesa.

"Walaupun benar bahawa keadilan yang tertangguh mungkin suatu penafian buat keadilan, keadaan yang tergesa-gesa juga boleh menguburkan keadilan," kata Khoo.

[Baca berita penuh]