Rayuan Maips mencelah prosiding penceraian Loh didengar 7 Feb 2023
Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Feb tahun depan bagi mendengar rayuan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tidak membenarkan ia mencelah prosiding perceraian Loh Siew Hong dan bekas suaminya Muhammad Nagahswaran Muniandy yang telah memeluk agama Islam.
Maips memohon mencelah prosiding itu bagi mengubah perintah penjagaan anak pasangan tersebut yang telah diberikan kepada Loh untuk membolehkan ia menyediakan pendidikan dan latihan yang Islamik serta zakat kepada ketiga-tiga kanak-kanak yang turut memeluk agama Islam bersama bapa mereka.
Dr Shamsher Singh Thind, seorang daripada peguam Loh, ketika dihubungi mengesahkan tarikh itu selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Norshakinah Ahmad Kamarudin hari ini.
Beliau berkata tarikh itu telah ditetapkan semasa pengurusan kes sebelum ini dan pihak yang terbabit dalam rayuan tersebut bersetuju mengekalkannya.
"Pada pengurusan kes hari ini, pihak terbabit dimaklumkan bahawa Mahkamah Rayuan boleh mendengar rayuan itu pada bulan November dan Disember. Bagaimanapun, beberapa tarikh yang dicadangkan tidak sesuai untuk semua pihak, jadi tarikh asal dikekalkan," katanya.
Pada 15 Jun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Evrol Mariette Peters menolak permohonan Maips untuk mencelah prosiding perceraian itu selepas memutuskan bahawa majlis berkenaan gagal membuktikan bahawa ia adalah pihak berkepentingan dalam kehidupan kanak-kanak terbabit.
Maips memfailkan permohonan untuk mencelah pada 7 Mac lepas bagi membolehkan ia mempunyai locus standi (hak yang sah di sisi undang-undang) bagi memohon variasi ke atas terma-terma perintah jagaan tunggal yang diberikan kepada Loh.
Loh, 34, telah diberikan hak penjagaan tunggal ke atas ketiga-tiga anaknya.
Pada 21 Feb lepas, ketiga-tiga beradik yang diletakkan di bawah penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah diserahkan kepada Loh selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpus beliau.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai