Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Anwar: Beri laluan saya bawa usul bahas krisis ekonomi jika PM tak nak

PARLIMEN | Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim telah mengutus surat kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menggesanya membawa usul perbahasan masalah ekonomi negara apabila Dewan Rakyat bersidang Isnin ini.

"Justeru itu, saya mencadangkan sama ada kerajaan untuk membawa usul khas terkait permasalahan ini atau memberi laluan kepada saya selaku ketua pembangkang untuk mengemukakannya," katanya memaklumkan hal itu pada satu kenyataan hari ini.

Dalam suratnya, pengerusi Pakatan Harapan itu berkata dua isu yang perlu diberi perhatian ialah kenaikan kos barangan, dan kejatuhan ringgit.

"Permasalahan yang saya sebutkan di atas teramat memberi kesan kepada rakyat dan negara. Ia perlu ditangani dengan segera," tulis Anwar.

Ringgit menjunam ke paras terendah dalam tempoh 24 tahun berbanding dolar AS - yang mengalami peningkatan berikutan kenaikan kadar faedah.

Sementara itu, pelbagai faktor termasuk kejatuhan nilai mata wang dan perang di Ukraine, telah memberi kesan berpanjangan terhadap harga barang.

Di bawah peraturan parlimen, urusan kerajaan diutamakan - yang bermaksud perdana menteri boleh menjadikan perbahasan krisis ekonomi sebagai agenda dalam dewan daripada membahaskan rang undang-undang kerajaan.

Kerajaan juga boleh memutuskan untuk memberi laluan kepada ahli parlimen untuk membawa perkara untuk dibahaskan.

Sekiranya tiada sokongan kerajaan, ahli parlimen masih boleh membawa usul tergempar untuk dibahaskan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, proses itu lebih sukar bagi ahli parlimen, yang perlu memfailkan notis awal kepada pejabat speaker sebelum membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat.

Walaupun mereka telah memfailkan notis awal namun terpulang kepada speaker Dewan Rakyat sama ada membenarkan atau tidak usul tergempar itu dibahaskan.

Jika speaker menolak usul tergempar, keputusan adalah muktamad.

Walaupun usul berasingan boleh difailkan untuk menyemak keputusan speaker, ia hampir belum pernah didengar.