Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PH Terengganu bakal pertaruh muka baru, calon muda untuk PRU15

Pakatan Harapan (PH) Terengganu dijangka menampilkan muka baru untuk bertanding mewakili gabungan itu dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pengerusinya, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, berkata penampilan muka-muka baru itu dibuat sebagai usaha gabungan pembangkang kembali bertapak di negeri yang menjadi kubu kuat PAS berkenaan.

Raja Kamarul Bahrin berkata perkara itu dibangkitkan di dalam mesyuarat PH di Pejabat Amanah Terengganu baru-baru ini.

PH Terengganu, katanya, turut diterajui bersama dengan pengerusi baru PKR negeri itu yang juga naib presiden parti berkenaan, Nik Nazmi Nik Ahmad.

"Secara amnya PH Terengganu berusaha mengemukakan muka-muka baru dan juga calon muda untuk PRU ke-15 kali ini bersama dengan mereka yang lebih berpengalaman untuk memberi kestabilan dan kematangan pada pasukan kami," katanya kepada Malaysiakini.

Dia yang juga pengerusi Amanah Terengganu menjelaskan calon muka baru dan muda akan membawa pembaharuan, pendekatan dan idea yang lebih bernas serta progresif.

Pada PRU 2018, Raja Kamarul Bahrin gagal mempertahankan kerusi parlimen Kuala Terengganu yang dimenanginya atas tiket PAS pada pilihan raya umum sebelumnya. dia turut bertanding - dan tewas - di kerusi DUN Batu Buruk.

Raja Kamarul Bahrin kemudian dilantik sebagai ahli Dewan Negara dan timbalan menteri di bawah kerajaan PH sebelum menamatkan penggalnya sebagai senator pada Julai tahun lalu.

Diminta mengulas kedudukannya sebagai calon pada PRU ke-15 ketika wujud gesaan dari dalam Amanah agar pemimpin veteran memberi laluan kepada calon lebih muda, Raja Kamarul Bahrin berkata dia bersedia terlibat menyertai persaingan sekali lagi.

Bagaimanapun, katanya, dia menyerahkan segala keputusan akhir kepada kepimipinan tertinggi parti untuk membuat ketetapan muktamad.

Secara keseluruhan, menurut Raja Kamarul Bahrin, PH Terengganu akan meletakkan calon di semua lapan kerusi parlimen dan 32 kerusi DUN.

“PH Terengganu akan memuktamadkan pembahagian kerusi kerusi dalam masa yang terdekat.

“Hanya beberapa perkara kecil dan kerusi sahaja yang perlu diselesaikan dalam menjelang awal Okt ini,” katanya.

Untuk rekod, pertaruhan PH - yang turut melibatkan Bersatu - di Terengganu gagal memenangi sebarang kerusi di sebalik kejayaan gabungan berkenaan menguasai Putrajaya dan sebahagian besar negeri di seluruh negara.

DAP tidak meletakkan calon di Terengganu untuk PRU ke-14.

PRU ke-15 juga membuka ruang kepada parti komponen PH sedia ada bertanding di lebih banyak kerusi ekoran ketiadaan Bersatu yang sebelum ini diletakkan di tiga kerusi parlimen dan 10 kerusi DUN.