Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Cabaran 'lepas jawatan': Saravanan jemput Lim, Ngeh ke pejabat

Menteri Sumber Manusia M Saravanan menjemput Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham untuk menghadiri sesi taklimat khas bersama Kementerian Sumber Manusia berhubung dakwaan kekurangan pekerja asing di negara ini.

Saravanan berkata bahawa kementeriannya telah menghantar surat jemputan kepada Lim dan Ngeh untuk sesi taklimat khas yang akan diadakan pada 5 Oktober di pejabat menteri itu di Putra Jaya.

"Saya minta Guan Eng datang ke sesi taklimat khas ini dengan membawa bukti untuk menunjukkan di manakah kecacatan KSM.

"Jangan datang buat drama politik. Tolong bawa bukti dan tunjukkan di mana kesilapan saya dan kementerian.

Gambar fail, Lim Guan Eng.

"Setiap kali PRU dah dekat, dia mulakan drama. Dia sepatutnya fokus kes mahkamah dia, saya percaya Guan Eng cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada kes mahkamah," katanya pada sidang media di Wisma HRD Corp, Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, Lim mengkritik menteri sumber manusia berhubung kekurangan pekerja di negara ini sejak beberapa minggu lalu.

Saravanan kemudian mencabar Lim supaya meletakkan jawatan sebagai pengerusi DAP jika dia tidak dapat menemui apa-apa yang salah dengan cara kementerian menangani isu kekurangan pekerja asing.

Saravanan berkata dia sedia meletak jawatan jika Lim dapat membuktikan dirinya sebagai menteri bersalah dalam menangani isu tersebut.

Isu ini berlanjutan apabila Lim pada 16 Sept lalu menyahut cabaran itu dan meminta Saravanan menetapkan tarikh untuk dia mengutarakan isu kritikal dan kelemahan lain yang telah melambatkan pengambilan pekerja asing.

Sementara itu, Saravanan mendakwa dasar pentadbiran Pakatan Harapan merupakan punca utama isu pekerja asing dialami di negara ini.

"Polisi kerajaan PH membuat moratorium membawa masuk pekerja asing dari Bangladesh merupakan punca utama. Sepanjang 22 bulan mereka memerintah mereka tidak membenarkan pekerja Bangladesh masuk ke negara ini

"Selepas saya ambil alih, negara dilanda Covid-19. Jadi, persempadanan antarabangsa hanya dibuka pada 1 Apr 2022. Daripada Apr 2022 sehingga hari ini semua Memorandum Persefahaman (MOU) telah diselesaikan.

Desakan Ngeh untuk syarikat sendiri

"Semua negara sumber dibuka semula untuk membawa masuk pekerja asing. Kelulusan kuota dipercepatkan.

"Apa lagi menteri kena buat? Bawa kapal ambil pekerja asing," sindirnya.

Dalam pada itu, Saravanan berkata kenyataan seorang lagi pemimpin DAP Ngeh Koo Ham (gambar, bawah) bahawa Kementerian Sumber Manusia tidak buat kerja mempunyai agenda peribadi.

"Dia minta untuk syarikat dia bukan untuk rakyat. Saya boleh cetak semua dokumen apa yang dia minta daripada kami.

"Semua permintaan adalah peribadi. Tapi, kononnya dia buat drama minta untuk rakyat. Dia minta untuk syarikat dia, saya tak tahu dia minta untuk diri dia atau dia merupakan ejen," katanya.

Saravanan juga berkata akan mendedahkan semua permintaan dibuat oleh Ngeh kepada umum pada sesi taklimat itu.

"Ini lah perangai DAP. Sistem pekerja asing di negara ini hancur sebab PH khususnya menteri-menteri dari DAP.

Gambar fail.

"Saya tidak lihat majikan membuat aduan terhadap KSM. Sebab senang untuk mendapatkan kelulusan. Saya tidak melihat pemain besar seperti Sime Darby dan FGV membuat aduan.

"Yang bising, pemimpin-pemimpin seperti ini yang mempunyai niat tertentu," katanya.

Berhubung dakwaan Lim bahawa bahawa hanya 12 peratus pekerja asing memasuki negara daripada 385,000 permohonan pekerja asing yang mendapat kelulusan, Saravanan membalas kenyataan itu sebagai 'tidak faham peranan kementerian'.

"Jawapan saya, kamu tidak pun faham peranan KSM dalam pengambilan pekerja asing di negara ini.

"Tugas saya buat masa ini ialah memberi kuota. Selepas itu, saya perlu menjaga kebajikan mereka apabila berada di negara ini.

"Itu peranan KSM. Proses di antara ini bukan bidang kuasa KSM. Kalau kamu tidak faham peranan saya, bagaimana kamu menilai prestasi saya?" soalnya.

"Saya minta Guan Eng, selepas ini jangan buat kenyataan sahaja. Datang ke sesi taklimat dan buktikan di mana kesilapan kementerian," katanya.