Loke nafi Muda 'sugar baby' DAP, kecam Jazlan sebagai penyibuk
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke membidas bekas ahli parlimen Pulai Nur Jazlan Mohamed yang baru-baru ini melabel Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai “sugar baby” baru kepada DAP.
Jazlan juga mendakwa Amanah telah diketepikan akibat daripada "sugar baby" baru DAP, untuk memenangi undi Melayu pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 akan datang.
Loke mengulas perkara itu selepas ditanya pemberita pada sidang media sempena Kongres Khas DAP di Shah Alam, hari ini.
"Tanya Amanah sama ada mereka diketepikan. Dia (Jazlan) terlalu banyak masa.
"Dia agak busy body (penyibuk) pada masa ini. Dia tidak merancang untuk bertanding dalam PRU akan datang (jadi) dia terlalu bebas memberi komen," kata Loke.
Terdahulu Jazlan mendakwa Amanah bukan lagi "anak emas" DAP kerana tiada kebolehpercayaan untuk memikat pengundi Melayu sekarang.
"Semua orang tahu bahawa Amanah dilahirkan untuk memecahbelahkan PAS, dan akibatnya parti Islam itu memutuskan hubungannya dengan DAP pada 2014.
"DAP malah mencurahkan janji manis kepada proksinya dalam PAS agar mengkhianati parti dan menubuhkan parti baru atas nama Amanah.
“Sebab itu ramai pemimpin dalam PAS, seperti Mat Sabu (Mohamad Sabu), Salahuddin (Ayub), Dr Hatta Ramli dan Dr Zulkefly (Ahmad) memutuskan untuk meletakkan jawatan dalam PAS untuk menyertai (Lim) Kit Siang, (Lim) Guan Eng, Tony Pua dan lain-lain," dakwanya dalam catatan Facebook pada 21 Sept lalu.
Jazlan turut mendakwa Langkah Sheraton pada Februari 2020 adalah titik perubahan yang mencetuskan kehilangan "cinta" DAP terhadap sekutunya Amanah.
Tiada perbincangan dengan PN
Sementara itu, diminta mengulas pengisytiran Pengerusi PN Muhyiddin Yassin bahawa BN merupakan musuh utama BN, Loke berkata dia tiada komen berhubung perkara itu.
Bagaimanapun dia menegaskan tiada sebarang perbincangan antara PH dan parti-parti daripada PN.
"PH ada empat parti dan kita akan lawan mereka yang menentang kita (dalam PRU). Siapa yang menentang kita adalah musuh kita, mereka pasti pesaing kita.
"Saya tidak mahu komen. PH juga tidak berbincang dengan parti daripada PN," katanya.
Semalam, Muhyiddin mengisytiharkan BN merupakan musuh PN pada PRU ke-15 akan datang, sambil menambah semua parti komponen dalam PN bersetuju dengan perkara itu.
"Apabila tiba masa PRU15 diadakan, maka PN didukung Bersatu, PAS, Gerakan, Star dan SAPP, akan gerakkan semua jentera kita.
"Saya tak nak bincang soal Pakatan Harapan (PH), itu hal dialah. Umno nak tanding semua kerusi tandinglah.
"Kita dalam PN sudah ada kesepakatan, antara perkara disepakati ialah saya nak sebut di sini, bahawa musuh utama kita tidak lain adalah BN," katanya pada sambutan ulang tahun keenam Bersatu di Putrajaya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai