Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Melayu perlu kembali jadi Melayu - Tapi Melayu apa?

ULASAN | “Mengapa Tun masih nak perjuangkan Melayu? Adakah Melayu lebih penting dari Islam?”

Begitulah kurang lebih soalan yang dilontarkan oleh salah seorang hadirin kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu sesi dialog bersama beliau.

Untuk saya, soalan ini bukan soalan provokatif atau soalan bodoh. Sebaliknya ia satu soalan dari persoalan yang besar dari sebuah naratif sejarah yang cukup panjang dalam alam Melayu. Mungkin yang bertanya itu juga, tak sedar tentang betapa dalamnya soalan itu.

Dalam konteks perlembagaan Malaysia, Melayu ditakrif berdasarkan warna kulit (rupa bentuk), budaya (bahasa, makanan, adat istiadat dll) dan beragama Islam sebagai amalan dan cara hidup. Jika seseorang itu melengkapi elemen-elemen ini dalam kehidupannya, maka dia Melayu.

Sebelum ini, saya menolak takrifan itu kerana saya percaya Melayu sebagai satu bangsa, hanyalah sebutir zarah kecil dari juzuk-juzuk kehidupan yang lebih luas, malah agama juga tidak meletakkan bangsa sebagai elemen penting dalam hidup manusia.

Dalam pengembaraan pengetahuan, saya menemui beberapa kisah yang telah menggugat kepercayaan yang selama ini saya pegang tentang Melayu dan tanah air.

Ketika rasul Musa AS yang memimpin keluar kaum Yahudi dari Mesir, Tuhan telah memerintahkan rasulNya itu untuk membawa kaumnya yang ditindas oleh Firaun itu ke satu tanah yang hari ini kita kenal sebagai Palestin.

Apa kaitan tanah dengan bangsa?

Bukan sirah Musa AS, kaum Yahudi dan tanah Palestin yang ingin saya bincangkan di sini sebaliknya persoalan yang ingin saya angkat ialah mengapa Tuhan memerintahkan Musa AS membawa kaum Yahudi pergi mendapatkan sebuah tanah untuk membina kehidupan mereka di sana.

Lojik bagi kita, bumi Tuhan ini luas untuk manusia, apatah lagi ketika zaman Musa AS itu, belum ada sempadan sesebuah negara seperti hari ini. Bangsa Yahudi atau bangsa apa pun, boleh tinggal di mana-mana pelusuk muka bumi ini tanpa perlu berperang atau bergaduh untuk mempertahankannya.

Tetapi, tidak begitu. Dan perintah Tuhan ke atas Musa AS dan kaumnya pasti ada sebab. Dan sebab ini boleh membantu memberi gambaran tentang persoalan tanah air dan Melayu.

Memilih kediaman

Kajian sarjana mengenai hubung kait antara sesuatu bangsa dengan tanah air menggariskan beberapa faktor antaranya; hubungan spiritual sesuatu bangsa dengan tanah sebagai sumber kehidupan serta budaya mereka, dan yang kedua mengenai kewujudkan ikatan sosial yang bersifat alami tentang keinginan seseorang untuk tinggal bersama komunitinya (bangsa/ kaumnya).

Sebagai contoh, jika hari ini kita diberi pilihan untuk membeli sebuah rumah kediaman, pastinya kita akan memilih berdasarkan pelbagai faktor, antara yang utama ialah komuniti (bangsa) yang tinggal di situ, barulah persoalan saiz rumah, harga atau rekabentuknya difikirkan.

Jarang orang Melayu mahu memilih rumah di kawasan majoriti bangsa asing, begitulah sebaliknya bagi bangsa lain. Jika ada yang berbeza dari kebiasaan ini, nisbahya tidaklah besar.

Barangkali inilah gambaran mengapa Musa AS diperintahkan agar membawa kaum Yahudi untuk mengambil sebuah tanah untuk dijadikan tanah air bagi mereka. Dan faktor-faktor yang dinyatakan ini juga menunjukkan mengapa hubungan sesuatu bangsa dan tanah air itu terikat.

Sejarah perjalanan dan kehidupan tamadun di Nusantara ini juga menjadi faktor mengapa semenanjung tanah Melayu adalah tanah air bagi bangsa ini.

Keterikatan antara tanah air dengan Melayu itu mempunyai persamaan dengan persoalan Melayu dan Islam. Sejak Islamnya manusia nusantara, agama ini menjadi cara hidup bagi orang Melayu. Cara hidup ini dipakai dari anak itu lahir hinggalah menutup matanya.

Dan, ikatan inilah yang diungkap oleh perlembagaan Malaysia tentang siapa dia Melayu.

Melayu makan belacan?

Tun Mahathir memberikan jawapan yang selari dengan takrifan Melayu dalam konteks perlembagaan (Malaysia) bahawa; “Perjuangan untuk kebaikan bangsa Melayu juga adalah perjuangan untuk kebaikan Islam.”

Namun, muncul pula persoalan kedua iaitu Melayu apa atau jenis apa yang ingin diperjuangkan (dibela)?

Adakah yang ingin diperjuangkan itu Melayu berdasarkan etnik? Melayu profesional? Melayu cerdik? Melayu yang islamik? Melayu yang makan sambal belacan? Atau Melayu apa?

Dalam konteks ini, yang hendak diperjuangkan ialah Melayu yang ada harga diri (bermaruah) atau Melayu yang berwibawa. Melayu yang bermaruah atau berwibawa ini bermaksud Melayu yang amanah pada kuasa.

Melayu yang amanah (berintegriti) juga adalah Melayu yang menolak amalan buruk seperti makan rasuah, meminta-minta, culas menjalankan amanah dan mereka yang suka memperbodoh-bodohkan bangsanya.

Melayu perlu kembali menjadi Melayu – yang mempunyai harga diri, amanah dan adil dalam menjalankan tugas untuk seluruh rakyat. Kerana ini juga adalah tuntuan dalam Islam.


MAHDZIR IBRAHIM ialah timbalan ketua penerangan Gerakan Tanah Air.

Tulisan ini tidak semestinya mencermikan pendirian Malaysiakini.