Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tebatan banjir: Penduduk KL akan saman DBKL - tindak balas 'tak mencukupi'

Sekumpulan lapan penduduk Kuala Lumpur memfailkan saman terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim.

Ini berhubung 'tindak balas yang tidak mencukupi' daripada pihak berkuasa terhadap surat tuntutan penduduk yang memohon pendedahan rancangan tebatan banjir mereka di ibu negara pada musim tengkujuh.

"Jawapan DBKL terhadap surat tuntutan kami, melalui kenyataan akhbar, adalah wujud "Pelan Tindakan Banjir Kilat 2022" sedia ada. DBKL dan agensi kerajaan sedang mengurangkan banjir berdasarkan rancangan ini.

"Pada pandangan kami, "Pelan Tindakan Banjir Kilat 2022" tidak mengandungi maklumat terperinci yang mencukupi mengenai strategi tebatan banjir bagi Kuala Lumpur, yang akan membolehkan penglibatan bermakna, penelitian dan akauntabiliti orang ramai," kata peguam Lim Wei Jiet dalam satu kenyataan bagi pihak lapan penduduk berkenaan.

Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim.

Dalam kenyataan itu, dia berkata "Pelan Tindakan Banjir Kilat 2022" (diterbitkan pada Mei 2022) turut dirangka sebelum laporan ketua audit negara dikeluarkan pada Ogos 2022.

“Oleh itu, ia tidak mengambil kira pelbagai kelemahan yang penting untuk mengurangkan banjir di Kuala Lumpur yang dikenalpasti ketua audit negara pada Ogos 2022.

Dakwanya, "Pelan Tindakan Banjir Kilat 2022" adalah pelan lapuk yang tidak mencukupi untuk menangani musim tengkujuh yang akan datang.

"Atas sebab-sebab di atas, dan atas sebab kepentingan dan kesegeraan perkara itu, kami tiada pilihan selain memfailkan saman itu di Mahkamah.

"Kami berharap badan kehakiman akan memaksa DBKL dan menteri Wilayah Persekutuan memberikan maklumat yang diperlukan kepada kami - demi semua warga KL," tambah Lim, yang juga naib presiden Muda.

Awal minggu ini, Malaysiakini melaporkan sekumpulan lapan penduduk Kuala Lumpur diketuai peguam veteran Ambiga Sreenevasan telah mengeluarkan surat tuntutan, mengancam untuk menyaman DBKL dan Shahidan jika maklumat itu tidak didedahkan.

Surat itu - yang dilihat Malaysiakini - telah diserahkan pada Isnin, dan DBKL dan Shahidan diberi masa lima hari untuk menjawab.

Selain Ambiga, tujuh lagi pemohon dalam permintaan maklumat itu ialah Kiu Jia Yaw, Muhammad Taufiq Mohd Razak, Farah Syahidah Shamsuddin, Safiya Spahic, P Geethananthini, Shah Fariq Aizal Sha Ghazni dan Nur Aneesa Mohammad Nizam.

Antara maklumat yang dicari ialah kemas kini status mengenai pelbagai rancangan tebatan banjir yang dijanjikan DBKL dan kerajaan akan dilaksanakan di Kuala Lumpur.

Kumpulan itu berkata maklumat berkenaan perlu supaya penduduk bandar dapat meneliti usaha mitigasi dan memastikan sama ada ia mencukupi dan memberikan maklum balas sewajarnya.

"Ketelusan maklumat sedemikian adalah penting untuk kesedaran awam dan untuk membolehkan penyertaan awam, yang merupakan asas kepada pembikinan dasar awam yang baik.

"Ini amat penting untuk isu serius seperti banjir, yang telah menyebabkan kemusnahan yang tidak terperi kepada nyawa, mata pencarian dan harta benda di Kuala Lumpur pada masa lalu," kata mereka.

[Baca berita asal]