Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

38 pekerja kilang cedera bas jatuh tebing, sangkut di pokok

Sebanyak 38 pekerja sebuah kilang di Batu Berendam, berdepan detik cemas selepas bas dinaiki mereka menggelungsur ke bawah tebing dalam satu kejadian di Jalan Simpang Gading-Kesang Pajak, di Alor Gajah, malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Abu Bakar Katain, berkata 13 mangsa termasuk pemandu yang cedera agak parah dihantar ke Hospital Jasin untuk menerima rawatan manakala bakinya dihantar ke klinik berdekatan.

Katanya, mangsa membabitkan warga Nepal dan Myanmar manakala pemandu pula rakyat tempatan, berusia antara 20-an dan 30-an.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.57 malam dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.

"Siasatan awal mendapati bas berkenaan baru tiba di asrama pekerja sebelum kenderaan itu menggelusur sejauh 150 meter ke bawah tebing berketinggian kira-kira 50 meter dari jalan raya, dipercayai akibat kegagalan brek.

"Bas tersebut kemudiannya tersangkut di pokok di bawah tebing berkenaan dan mangsa dikeluarkan menerusi tingkap kenderaan yang pecah oleh orang awam dan pegawai serta anggota bomba," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di Alor Gajah.

"Seramai 27 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Jasin Bistari dan Alor Gajah terlibat dalam operasi menyelamat yang memakan masa selama 45 minit," katanya.

- Bernama