Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PRU15 masa menghukum orang melompat parti, kata Zahid

Selepas dibebaskan daripada 40 pertuduhan rasuah membabitkan sistem visa luar negara (VLN), Ahmad Zahid Hamidi sekali bersuara mengenai pilihan raya umum (PRU) dan menganggapnya sebagai detik terbaik untuk pengundi menghukum pihak yang telah lompat parti.

Kata presiden Umno itu ketika ini pihak yang cuba menggugat kesepaduan antara ahli parti berkenaan kerana mereka takut dengan kebangkitannya.

Justeru menurut Ahmad Zahid, pelaksanaan PRU menjadi ketakutan buat musuh Umno.

"Mereka tahu apabila parlimen bubar, maka mimpi ngeri mereka semakin tiba. Yang melompat parti (akan) dihukum oleh pengundi mereka sendiri sebelum ini.

"Ramai juga takut tewas dan ditolak rakyat kerana prestasi buruk mereka di kawasan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam ahli parlimen Bagan Datuk itu dilepas dan dibebaskan daripada semua 40 pertuduhan berkaitan sistem VLN yang didakwa berlaku ketika dia menjadi menteri dalam negeri.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Mohd Yazid Mustafa, berkata pihak pendakwaan gagal mewujudkan prima facie ke atas bekas timbalan perdana menteri itu.

Ahli parlimen Bagan Datuk itu berdepan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, selain tujuh lagi mendapatkan SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Kesemua pertuduhan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Bagaimanapun untuk rekod, Ahmad Zahid masih dibicarakan berhubung 47 pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan Yayasan Akalbudi.

Kenali musuh dalam selimut

Menurut Ahmad Zahid, gerakan "Umno ialah keluarga kita" akan terus diperkasa untuk memastikan parti berkenaan mendapat kemenangan bagi menghadapi PRU.

Dengan keahlian seramai 3.4 juta orang, katanya, jika digandakan dengan lima lagi ahli daripada keluarga masing-masing, serta pengukuhan semu peringkat, parti itu akan bertambah kuat.

"Marilah kita bersama-sama bangkit, melonjakkan momentum, bergerak secara bersepadu dan merapatkan barisan kita," katanya.

Pada masa sama Ahmad Zahid juga mendakwa dia dikaitkan dengan pelbagai label negatif serta diperlekeh termasuk usaha untuk mengetepikannya sebagai presiden Umno.

Langkah itu dibuat, katanya, kerana pihak terbabit tahu tanpa dia sebagai pemimpin Umno, parti tersebut lebih mudah diperlakukan mengikut kemahuan mereka.

"Pengalaman saya dikenakan oleh musuh politik menjadikan saya lebih matang, muhasabah diri, belajar mengenali musuh luaran dan musuh dalam selimut.

"Saya boleh maafkan tapi saya tidak akan lupakan sebagai pengajaran asam garam politik," katanya.

Bekas timbalan perdana menteri itu juga mengulangi dakwaannya bahawa dia didakwa di mahkamah kerana enggan meninggalkan Umno seperti dikehendaki Dr Mahathir Mohamad ketika ahli parlimen Langkawi berkenaan menjadi perdana menteri Pakatan Harapan.