Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kes Zahid: Hormat keputusan mahkamah, kata MP PKR

Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi atas 40 pertuduhan rasuah perlu dihormati, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim .

"Apabila (bekas perdana menteri) Najib Razak dan Rosmah Mansor didapati bersalah dan dihukum penjara oleh mahkamah, maka kita menganggap mahkamah adil dan bebas dalam membuat keputusan itu dan menyeru supaya semua orang menghormatinya.

"Jadi begitulah sepatutnya apabila Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan rasuah.

“Walaupun kita anti-rasuah dan tidak gembira dengan keputusan ke atas Zahid, tetapi kita perlu hormati keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam itu," kata ahli parlimen PKR itu dalam satu kenyataan hari ini.

Hassan bagaimanapun berkata pihaknya berharap pendakwa raya akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

"Kita menerima penjelasan peguam negara bahawa penghakiman kes Zahid di Mahkamah Tinggi Shah Alam itu perlu diteliti dan dikaji sebelum rayuan ke Mahkamah Rayuan Malaysia difailkan,” tambahnya.

Katanya lagi, hakim Mahkamah Tinggi juga perlu membentangkan alasan penghakimannya kepada umum untuk dibaca oleh orang ramai memandangkan kes itu melibatkan kepentingan awam.

Terdahulu Mahkamah Tinggi hari ini membebaskan dan melepaskan Ahmad Zahid daripada pertuduhan rasuah yang dikenakan ke atasnya.

Ahli parlimen Bagan Datuk itu didakwa atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), selain tujuh lagi mendapatkan SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Dalam keputusannya, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Mohd Yazid Mustafa, berkata pihak pendakwaan gagal mewujudkan prima facie ke atas bekas timbalan perdana menteri itu.