Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tindakan 1MDB terhadap Petrosaudi ditangguh ke 23 Nov

Pihak pendakwaan sedang menunggu arahan lanjut mengenai keperluan untuk meminda tindakan undang-undang terhadap Petrosaudi International Limited (PSI) dan empat yang lain berkaitan penyaluran dana lebih AS$340 juta daripada 1MDB.

Berikutan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini menangguhkan pendengaran permohonan perintah larangan itu kepada 23 Nov.

Semasa prosiding hari ini, timbalan pendakwa raya, Norinna Bahadun membangkitkan kemungkinan permohonan bagi meminda tindakan undang-undang ‘bagi mengelak kekeliruan’ melibatkan dana 1MDB yang didakwa disimpan dalam akaun escrow yang diuruskan oleh firma undang-undang yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Clyde & Co LLP.

Dia mencadangkan perkara itu selepas hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh berkata kertas kausa utama adalah terlalu kabur.

Norinna berkata, dokumen tindakan undang-undang itu menunjukkan ia hanya bersandarkan Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUA).

Hakim bertanya kepada pihak pendakwaan apakah tindakan undang-undang itu adalah tertakluk di bawah Seksyen 53(1)(a) 53(1)(c) akta berkenaan.

Seksyen 53 menyebut mengenai larangan berurusan dengan harta di luar Malaysia.

Subseksyen 1(a) adalah berhubung di mana harta itu adalah perkara atau hal yang berkaitan dengan perlakuan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) atau kesalahan pembiayaan keganasan.

Subseksyen 1(c) menyebut mengenai keadaan di mana harta itu adalah hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Seksyen 4(1) AMLATFPUA adalah berkaitan kesalahan pengubahan wang haram, yang boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, apabila disabitkan.

Apabila Shahrir bertanya kepada pasukan peguam responden, peguam Mohd Yusof Zainal Abiden berkata mereka menyerahkan kepada mahkamah berhubung perkara itu.

Mahkamah kemudiannya menangguhkan perbicaraan dan akan disambung semula pada 23 Nov.

Yusof mewakili warga Saudi Tarek Obaid, yang merupakan salah seorang daripada lima responden dan juga merupakan pengarah PSI.

Tiga lagi responden, iaitu PSI, Petrosaudi Oil Services (Venezuela) Limited (Diperbadankan di Barbados) juga dikenali sebagai PSOSL, dan Temple Fiduciary Services Limited yang berpangkalan di UK, yang diwakili peguam Alex Tan.

Clyde & Co bagaimanapun tidak diwakili peguam.

Melalui permohonan perintah larangan itu, pihak pendakwaan berhujah bahawa AS$340 juta itu adalah sebahagian daripada skim pengubahan wang haram yang menyalurkan berjuta-juta dolar AS daripada dana 1MDB mulai 2009.

[Baca berita penuh]