Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Orang ramai hendak tengok merpati berpakaian seragam penjara'

ULASAN l Kalau hendak diremehkan atau dijadikan bahan jenaka, kita boleh terima gelaran "merpati" yang didakwa diberikan kepada Najib Razak, sebagai banduan Penjara Kajang.

Kalau benar "codename" itu telah diberikan kepadanya, ia logik. Dalam slanga Inggeris, antara gelaran untuk banduan adalah "jailbird" (burung penjara) dan merpati adalah burung.

Cuma banyak peserta media sosial berpendapat, rujukan kepada merpati tidak sesuai dengan kedudukan Najib dan jenayah yang telah dilakukannya. Mereka kata, gagak atau hering lebih tepat.

Tapi saya kata, nama kod itu boleh dipertahankan sebab, macam merpati yang suka berak atas kepala manusia, Najib telah berak atas kepala kita, rakyat jelata Malaysia.

Yang jadi masalah adalah dakwaan dan bukti bahawa banduan merpati ini mendapat layanan yang berbaza daripada berpuluh ribu banduan lain.

Beberapa hari saja selepas masuk penjara, merpati dihantar ke Hospital Rehabilitasi Cheras kononnya untuk rawatan kesihatan. Lojiknya dia jalani rehabilitasi akhlak di penjara macam burung-burung jel yang lain. Sekarang ini ada kira-kira 70,000 banduan dalam sistem penjara kita.

Orang ramai hendak tengok merpati dilayan macam banduan lain. Hari ini banyak orang tidak percaya lagi kepada kenyataan menteri dan Jabatan Penjara melainkan mereka nampak gambar tulen merpati berpakaian seragam penjara. Tapi jangan pula cuba tipu dengan gambar "photoshop" sebab orang yang pakar boleh cam gambar ori dan gambar photoshop!

Banduan, banduanlah tak kira status mereka sebelum jadi banduan. Tapi jenayah seseorang banduan dan kesannya ke atas masyarakat berbeza. Misalnya banduan yang bersalah melakukan perbuatan bastialisme dengan kambing, kesannya ke atas masyarakat hampir tidak ada. Tapi seorang perdana menteri yang menyeleweng berpuluh juta ringgit duit tabung pencen kakitangan awam meninggalkan kesan yang sangat buruk.

Jadi cukuplah kerajaan berlembut dan memberi layanan berbeza kepada merpati. Janganlah jadikan layanan berbeza kepada merpati sebagai duluan (precedent) untuk bakal-bakal jailbird kelas kayangan yang lain. Manalah tahu mereka pun akan mengikuri merpati ke penjara.

Tetapi kalau Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, kerajaan dan Umno berasa terikat untuk memberi layanan istimewa kepada merpati, saya cadangkan tukar slogan Keluarga Malaysia kepada "Keluarga Merpati" dan Umno kepada "United Merpati National Organisation".


A KADIR JASIN ialah bekas ketua pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd dan pernah menjadi penasihat media perdana menteri.

Artikel di atas asalnya disiarkan di media sosial. Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.