Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Peguam: Wang dalam akaun eskrow di UK tiada kaitan dengan 1MDB

Mahkamah Tingg Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa tiada wang 1MDB yang digunakan dalam projek penerokaan dan cari gali minyak antara sebuah entiti yang berkaitan dengan Petrosaudi International Limited (PSI) dan kerajaan Venezuela.

Peguam Alex Tan dalam hujahnya juga berkata tiada dana syarikat itu yang disalurkan ke akaun eskrow yang diuruskan firma guaman United Kingdom, Clyde & Co LLP.

Tan mewakili tiga daripada lima responden yang dinamakan dalam tindakan sivil kerajaan Malaysia untuk menghalang mereka daripada mengendalikan AS$340 juta didakwa milik 1MDB dalam akaun tersebut.

Tiga responden itu adalah PSI, Petrosaudi Oil Services (Venezuela) Limited (Diperbadankan di Barbados) atau turut dikenali sebagai PSOSL, dan Temple Fiduciary Services Limited yang berpangkalan di United Kingdom.

Pengarah PSI, Tarek Obaid diwakili oleh peguam Mohd Yusof Zainal Abiden, manakala Clyde & Co tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding di depan pesuruhjaya kehakiman Ahmad Shahrir Mohd Salleh hari ini, Tan berkata pendakwaan gagal menunjukkan bukti ada wang 1MDB "dicuci" menerusi projek penerokaan dan cari gali minyak antara PSOSL dan Petroleos de Venezuela SA (PDVSA) - iaitu syarikat milik negara Venezuela - pada 2010.

Dia berkata tiada wang yang dapat dikesan ada kaitan dengan 1MDB digunakan dalam projek tersebut.

Katanya, ia antara lain dapat dilihat menerusi hakikat yang PSOSL bukan pemilik salah satu kapal yang digunakan dalam projek itu, yang didakwa pihak berkuasa Malaysia diperolehi menerusi dana dari 1MDB.

Dia menjelaskan yang wang dalam akaun eksrow itu sebenarnya adalah milik PSOSL yang diperolehinya susulan keputusan timbang tara.

Katanya lagi, wang dalam akaun itu dipegang secara amanah sementara menunggu prosiding timbang tara antara PSOSL dan PDVSA dalam satu pertikaian berkaitan projek minyak tersebut.

DIa berkata anugerah timbang tara diberikan beberapa hari selepas kerajaan Malaysia memfailkan tindakan undang-undang terhadap lima responden.

"Apabila PDVSA gagal buat bayaran (kepada PSOSL yang membawa kepada pertikaian), ia dibawa ke timbang tara dan tribunal berpihak kepada responden ketiga (PSOSL).

"Ini situasi di mana pemohon (kerajaan Malaysia) mahu menghalang (lima responden) mengendalikan wang ini.

"Wang dalam akaun eskrow ini adalah bersih, dan tiada wang 1MDB boleh dikatakan dapat dikesan pada anugerah akhir (timbang tara) dalam akaun eskrow atau akan responden kelima (Temple Fiduciary Services)," kata Tan lagi.

Dia juga menafikan hujah pendakwaan yang Tarek menggunakan PSOSL untuk menyembunyikan kegiatan yang melanggar undang-undang.

Perbicaraan disambung esok.

[Baca berita asal]