Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

‘Majalah Economist yang muatkan tulisan tentang raja diharamkan’

Majalah terkenal British The Economist edisi minggu ini diharamkan di Malaysia, menurut sumber-sumber industri.

“Ya, ia diharamkan,” kata satu sumber yang menjalankan perniagaan kedai buku.

Sumber yang lain turut mengesahkan perkara itu.

Sebab pengharaman itu tidak dinyatakan. 

Malaysiakini sudah menghubungi Kementerian Dalam Negeri dan The Economist bagi mendapatkan maklum balas mereka.

Edisi minggu ini, yang turut boleh dibaca atas talian, menyentuh isu raja-raja di Asia Tenggara, termasuk Malaysia.

Ia antaranya membincangkan isu pewarisan tahkha di rantau ini selepas kematian Ratu Elizabeth II.

Terdapat juga ulasan berkaitan salah laku istana termasuk pendakwaan kes serangan terhadap individu lain oleh pemerintah Johor sebelum ini Sultan Iskandar Sultan Ismail semasa menjadi putera mahkota.

Artikel itu menyebut bahawa tindakan itu menjadi sebab untuk kerajaan menarik balik kekebalan raja-raja daripada didakwa di mahkamah pada tahun 1990-an.

Artikel itu juga mengulas bahawa di Malaysia, raja-raja dibenarkan melantik waris pilihannya.

Menyentuh isu istana Kelantan, artikel itu membayangkan bahawa Sultan Muhammad V menjadi putera mahkota susulan kontroversi melibatkan Manohara Odelia Pinot, bekas isteri adiknya Tengku Fakhry

Sultan Muhammad, sebelum ini dikenali sebagai Tengku Faris, ialah putera sulung Sultan Ismail Petra. 

Pewarisannya diputuskan oleh Majlis Perajaan Negeri Kelantan.