Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Veteran Umno cabar Marzuki minta Muhyiddin 'tekan butang'

Seorang pemimpin veteran Umno mencabar bekas setiausaha sulit Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad supaya meminta bekas perdana menteri itu untuk “tekan butang” selepas menilai kepimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dengan markah "gagal".

Veteran Umno, Shahrir Samad berkata Marzuki wajar mencadangkan kepada presiden Bersatu itu supaya menekan butang jika yakin rakyat berpuas hati dengan kepimpinan Muhyiddin sewaktu menjadi perdana menteri.

"Apa nak tunggu lagi? Marzuki kena nasihat Muhyidin untuk 'tekan butang'.

"Tak hendak 'tekan butang', boleh juga 'pull the plug', iaitu orang-orang PPBM (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) yang ramai dalam jemaah menteri boleh tarik sokongan daripada Ismail sebagai perdana menteri, kan senang," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Shahrir Samad

Terdahulu hari ini, Marzuki mendakwa rakyat lebih berpuas hati dengan kepimpinan presiden Bersatu itu berbanding perdana menteri.

Menjawab kritikan Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Shahril Sufian Hamdan yang meminta Muhyiddin cermin diri terlebih dulu, Marzuki membuat perbading mengenai kepuasan hati terhadap dua pemimpin itu melalui kajian dilakukan Merdeka Centre.

Marzuki berkata, berdasarkan kajian Merdeka Centre for Opinion Research, 72 peratus rakyat berpuashati dengan prestasi Muhyiddin pada bulan Mei 2020, 74 peratus (Julai 2020): 73 peratus (September 2020): 67 peratus (November 2020): 63 peratus (Januari 2021): 68 peratus (April 2021) dan 57 peratus (Jun 2021).

Muhyiddin meletakkan jawatan selepas tidak mendapat sokongan majoriti pada bulan Ogos 2021

Dalam pada itu, Shahrir secara sinis berkata itu pun jika pemimpin Bersatu yakin dengan kajian yang dijalankan oleh Merdeka Centre.

"PM 67 peratus boleh dengan mudah mengalahkan PM45 peratus di PRU ke-15. Kan?

"Itu pun kalau Merdeka Centre pandai mengira," katanya lagi.