Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Muda bantah PRU15 ketika banjir, anjur himpunan Sabtu ini

Parti Ikatan Demokratik (Muda) berhasrat mengadakan perhimpunan pada Sabtu ini bagi membantah pilihan raya umum (PRU) diadakan pada musim tengkujuh tahun ini.

Ahli jawatankuasa eksekutif pusat Muda, Nurainie Haziqah Shafii berkata, himpunan yang dinamakan 'Nyawa Dulu Baru Pilihan Raya' itu dirancang diadakan di hadapan kompleks beli-belah Sogo.

Himpunan itu katanya sebagai respons kepada kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi bahawa BN bersedia meredah banjir untuk berkempen sekiranya pilihan raya diadakan tahun ini, yang disifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab.

"Baru-baru ini Presiden Umno Datuk Seri Zahid hamidi telah mendesak pilihan raya disegerakan tahun ini juga walaupun Datuk Seri Zahid Hamidi dan rakan-rakan dalam BN tahu bahawa banjir akan selalunya berlaku pada akhir tahun.

"Ini mengingatkan kami semua berkenaan tragedi banjir yang telah berlaku dengan teruk bermula Nov 2021 dan Januari 2022, dan sehingga ke hari ini, tiada langsung pelan mitigasi oleh kerajaan BN untuk menghadapi banjir.

"Kami Muda, ingin dengan sejelas-jelasnya menuntut tiada pilihan raya diadakan pada tahun ini, perkara ini sangat tidak bertanggungjawab dan kenyataan seperti tidak langsung mencerminkan keprihatinan Keluarga Malaysia yang dilaungkan perdana menteri,” katanya dalam sidang media hari ini.

Nurainie berkata, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob perlu mengumumkan pelan mitigasi banjir nasional yang merangkumi penempatan aset dan kakitangan kerajaan.

Seorang lagi ahli jawatankuasa eksekutif pusat Muda, Afiqah Zulkifli, berkata kerajaan perlu mendedahkan hasil siasatan berkenaan banjir besar tahun lalu, yang turut mengorbankan nyawa.

“Dapatan daripada post mortem banjir itu tidak seharusnya disimpan secara eksklusif oleh jawatankuasa bencana di dalam bilik-bilik mesyuarat , tetapi perlu dimaklumkan kepada wakil rakyat pembangkang, NGO dan penduduk tempatan,” kata Afiqah.

Sementara itu anggota eksekutif pusat Muda, Lim Wei Jiet pula berkata, orang ramai mempunyai hak untuk mengetahui tindakan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang kerajaan, dalam hal melibatkan kepentingan negara.

Sebelum ini, Ismail Sabri berkata dia akan berbincang mengenai tarikh PRU dengan lima pemimpin tertinggi Umno dalam masa terdekat.

Ismail berkata mereka akan "membincangkan semua isu" berkaitan untuk mengadakan PRU15, termasuk aspek cuaca.