Anwar: Pengkhianatan Bersatu buat PKR waspada terhadap Muda
WAWANCARA l Sebarang keputusan PH berhubung penyertaan parti baru secara rasmi menjelang PRU15 perlu dinilai secara cermat bagi mengelakkan pengkhianatan, seperti yang dilakukan Bersatu, berulang kembali.
Dalam wawancara bersama Malaysiakini semalam, Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata selain Muda, gabungan itu turut menerima surat dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang mahu kembali meneroka kemungkinan bekerjasama dalam PRU tersebut.
"Saya rasa kita boleh terus berbincang memandangkan dari segi dasar, parti-parti ini agak dekat dengan PH.
"Tetapi saya serahkan kepada majlis presiden dan kemudian penubuhan jawatankuasa untuk membuat penilaian terperinci," katanya.
Majlis presiden PH akan bermesyuarat petang nanti bagi membincangkan permohonan Muda untuk menjadi parti komponennya.
Presiden PKR itu mengaitkan pendirian berwaspada PH dengan kegagalan hubungan dengan Bersatu yang membawa kepada Langkah Sheraton, di mana parti serpihan Umno itu mengambil alih pentadbiran negara dengan kerjasama BN, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
"Pengalaman lalu bersama Bersatu yang sukar, mereka memungkiri semua komitmen berkenaan isu agenda pelbagai kaum, membasmi rasuah, dan tentulah bagi Keadilan kita tidak terlepas daripada perkara ini kerana ramai pemimpin kita terlibat dalam pengkhianatan ini," kata Anwar.
Sementara dua komponen PH iaitu DAP dan Amanah dilihat menyambut baik hasrat Muda, sebahagian dalam PKR - terutama sayap pemudanya - telah menyuarakan bantahan mereka dan malah menyenaraikan 10 syarat yang perlu dipenuhi.
Timbalan Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz kemudian berkata pihaknya menerima keraguan yang disuarakan itu dan menyatakan kesediaan untuk bertemu secara rasmi dengan PH.
Adun Puteri Wangsa itu juga menekankan Muda hanya menyasarkan kerusi yang kini diwakili BN dan Perikatan Nasional (PN).
Selain isu permohonan Muda, Anwar turut mengesahkan Majlis Presiden PH hari ini akan turut membincangkan imej baru bagi logo tunggal yang akan digunakan calon PH nanti.
"Satu rekaan baru tetapi saya rasa perubahannya hanya minimum," katanya sambil menegaskan pilihan akhir perlu dipersetujui oleh semua parti dan dekat dengan para penyokong mereka.
Pada bulan lalu, majlis presiden PH mengumumkan kesemua empat parti komponennya telah bersetuju untuk bertanding menggunakan logo PH yang akan direka bentuk semula.
Ia berbeza ketika PRN Johor pada Mac lalu, di mana calon DAP dan Amanah menggunakan logo semasa PH manakala PKR memilih untuk menggunakan logo parti.
Pada PRU14, kesemua calon PH - termasuk dari Bersatu - bertanding menggunakan logo PKR - ketika itu dianggap sebagai logo yang paling dikenali - memandangkan gabungan itu belum berdaftar secara rasmi pada masa itu.
'Rundingan kerusi kini lebih mudah'
Sementara itu, Anwar berkata pemukiman PH baru-baru ini telah mengukuhkan komitmen parti komponen bagi menghadapi PRU15, dengan pemimpin lebih senior menerima pandangan ahli dalam kalangan generasi muda.
"Pastinya ada perbezaan (pendapat). Tapi saya sejujurnya tak merasakan ada perbezaan besar. Malah rundingan kerusi sekarang lebih mudah.
"Ini kerana kita telah lama bertelingkah, sejak 1999," selorohnya, merujuk kerjasama PKR dengan DAP dan PAS di bawah Barisan Alternatif ketika itu dan kemudiannya Pakatan Rakyat.
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli sebelum ini berkata PH dijangka memuktamadkan rundingan kerusi sebelum 30 September ini.
Ditanya berkenaan ramalan penganalisis berkenaan akan wujud gabungan politik selepas pilihan raya, Anwar berkata fokus PH tetap sama iaitu menang kerusi dalam PRU15.
Katanya lagi, ada unjuran yang dibuat tanpa mengambil kira sentimen pengundi di lapangan.
"Ada kala mereka betul tetapi banyak kali juga mereka silap.
"Pada 2013 mereka menolak (Pakatan Rakyat) seluruhnya walaupun kita (akhirnya) dapat majoriti undi (popular).
"Jika kita hanya berpandukan kepada mereka yang dipanggil penganalisis dan tinjauan ini, telah lama kita (PH) mengaku kalah," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai