Dulu tak apa, ada banjir tapi tak dahsyat, kata Mahathir
Cadangan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 semasa negara mungkin berdepan ancaman bencana alam seperti banjir akan meletakkan rakyat dalam bahaya.
Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr Mahathir Mohamad, berkata keadaan akan menjadi lebih berisiko kerana negara ini tidak terkecuali daripada terkesan dengan perubahan iklim.
“Sekarang negara sedang mengalami perubahan iklim yang memperlihatkan malapetaka sangat dahsyat sampai rumah-rumah semua tenggelam.
“Jika dulu diadakan pilihan raya umum pada hujung tahun tak apa, (walaupun) ada banjir tapi tak dahsyat, tapi jika diadakan pada waktu sekarang, mungkin ada rakyat boleh mati kerana banjir,” katanya.
Bekas perdana menteri itu berkata demikian pada majlis Up Close and Personal bersama Mahathir yang diadakan bersama penggiat seni di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini.
Pada 17 Sept lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kemahuan parti itu agar PRU ke-15 diadakan segera walaupun negara berkemungkinan berdepan dengan ancaman bah besar serta musim tengkujuh.
Perdana Menteri Ismail Sabri yang juga naib presiden Umno turut menyatakan PRU berkenaan akan diadakan "tidak lama lagi" meskipun tiada sebarang isyarat jelas mengenai langkahnya ke arah itu.
Dua parti yang menyertai kerajaan Ismail Sabri - PAS dan Bersatu - sudah menyatakan pendirian mereka untuk menunggu sehingga tahun depan untuk mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong membubarkan parlimen.
Mahathir berkata, dengan PRU diadakan pada waktu sukar, rakyat yang layak mengundi akan kehilangan hak mereka apabila akses untuk membuat pilihan menjadi sukar.
Justeru, menurutnya, kerajaan wajar menunggu sehingga keadaan menjadi reda sebelum melaksanakan PRU ke-15.
“Sepatutnya kerajaan tunggu sampai keadaan jadi lebih baik, tak ada angin kencang dan banjir.
"Kalau boleh tunggu situasi reda sampai tahun depan, jika perlu,” ujarnya.
Untuk rekod, pilihan raya umum (PRU) 1999 diadakan pada musim tengkujuh. Mahathir merupakan perdana menteri ketika itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai