Keputusan kes saman Sultanah T'ganu terhadap editor S'wak Report 31 Okt ini
Keputusan saman sivil berkenaan fitnah yang difailkan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah kepada pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown akan diketahui 31 Oktober ini.
Ia berkenaan kandungan yang didakwa fitnah dalam buku 'The Sarawak Report - The inside story of 1MDB'.
Pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee memutuskan perkara itu selepas mendengar penghujahan lisan oleh peguam kedua-dua pihak.
Penghujahan hari ini selepas tamat perbicaraan penuh, di mana lima saksi dipanggil memberi keterangan.
Dalam perbicaraan pada 1 Ogos lalu, Sultanah Nur Zahirah menafikan ada peranan dalam penubuhan Terengganu Investment Authority(TIA), syarikat yang kemudiannya ditukar menjadi 1MDB.
Rewcastle-Brown kemudian berkata ia merupakan satu kesilapan yang bukannya dibuat dengan niat jahat.
Edisi kemas kini buku tersebut kemudian membuang bahagian yang didakwa fitnah itu.
Pada 21 November 2018, Sultanah Nur Zahirah menamakan Rewcastle-Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise Chong Ton Sin dan syarikat percetakan Vinlin Press Sdn Bhd dalam saman sivilnya.
Sultanah Nur Zahirah mendakwa Rewcastle-Brown menggunakan kenyataan berunsur fitnah dalam buku itu, yang dicetak oleh Vinlin Press pada Ogos 2018.
Plaintif mendakwa dia tidak terlibat sama ada dalam pentadbiran negeri atau penubuhan TIA, dan mendakwa bahawa kenyataan itu telah mencemarkan nama baiknya di mata orang ramai.
Sultanah Nur Zahirah menuntut ganti rugi RM100 juta dan mahu defendan kedua Chong menarik balik buku yang mengandungi kenyataan berunsur fitnah, serta menghalang defendan ketiga Vinlin Press daripada mencetak lebih banyak salinan buku itu.
Dalam pernyataan pembelaan mereka, ketiga-tiga defendan menafikan mereka pernah menuduh Sultanah Nur Zahirah terlibat dalam rasuah.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai