Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KATA ADUN | Apa erti merdeka jika wanita M'sia tiada hak setaraf?

KATA ADUN | Semua ahli parlimen di negara ini perlu memberi sokongan terhadap usul persendirian yang dibawa bagi meminda perlembagaan agar kerakyatan kepada anak lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia diterima.

Usul berkenaan dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said.

Buat masa sekarang, Malaysia adalah salah satu daripada 28 negara di dunia yang tidak memberikan hak sama rata kepada kaum wanita dalam isu kewarganegaraan anak, berbanding 150 negara lain yang berbuat sebaliknya.

Sukar untuk dipercayai apabila negara meraikan hari kemerdekaan yang ke-65, kita masih lagi dibelenggu undang-undang bersifat patriarki yang menafikan hak setaraf untuk wanita.

Apalah ertinya merdeka jika wanita Malaysia tidak diberikan hak yang setaraf?

Isu kewarganegaraan adalah antara punca utama wanita Malaysia berfikir dua kali untuk kembali ke tanah air. Pada masa ini, 1.86 juta wanita Malaysia tinggal di luar negara.

Jumlah itu mewakili 12 peratus daripada populasi keseluruhan wanita Malaysia.

Polisi yang mendiskriminasi sekarang mengurangkan pilihan kepada wanita Malaysia dalam mendapatkan perceraian, perlindungan atau bantuan kerana ia menganggap bahawa kehadiran seorang bapa diperlukan bagi membentuk keluarga bahagia.

Tetapi realitinya tidak sebegitu buat ramai wanita Malaysia.

Wanita tertentu yang perlu meninggalkan perkahwinan selalu tersepit kerana anak mereka tidak mempunyai kewarganegaraan di negara sendiri.

Bukan itu sahaja, negara kita juga berpotensi untuk kehilangan satu demi satu modal insan yang menyumbang ke arah kemajuan negara jika isu ini berterusan.

Sekiranya pindaan perlembagaan yang dibawa beberapa ahli parlimen itu dapat dilaksanakan, maka tindakan tersebut akan dijadikan sebagai langkah pertama dalam memberi kuasa sama rata kepada golongan Wanita.

Tindakan ini juga selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW).

Sudah sampai masanya kedudukan seimbang setiap warga negara - wanita dengan lelaki - di negara ini dicerminkan dan dikukuhkan dengan meminda Fasal 2, Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan untuk melarang diskriminasi atas alasan jantina.


CHONG ENG ialah exco Pulau Pinang merangkap ketua Wanita DAP Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.