Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PKR: Ismail Sabri, Muhyiddin sama-sama gagal

PKR berpendapat, tidak sepatutnya Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob tuding-menuding antara satu sama lain berhubung kemelut yang sedang melanda negara dan rakyat ketika ini.

Timbalan Ketua Penerangan PKR, Chua Wei Kiat, berkata sebenarnya kedua-dua pemimpin terbabit sama-sama gagal menguruskan negara.

"Bagi saya perkara ini sangat senang - mereka tak perlu saling menuduh sebab mereka adalah ikon gagal Malaysia," katanya hari ini.

Chua yang juga Adun Rawang berkata demikian sebagai merujuk kenyataan Muhyiddin semalam ini yang menganggap Ismail Sabri gagal sebagai perdana menteri apabila masalah ekonomi negara terus memburuk.

Ekoran itu, kata Muhyiddin, mungkin ada keperluan untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) lebih awal agar sebuah kerajaan baru yang lebih cekat dan "bebas rasuah" dapat dipilih rakyat.

Beberapa jam kemudian Ismail Sabri membidas Muhyiddin dan menganggap tindakan ahli parlimen Pagoh itu sebenarnya mengata partinya sendiri, Bersatu.

Menurut naib presiden Umno berkenaan, jika Muhyiddin menganggap kerajaan sekarang gagal, Bersatu turut menyumbang kepada kememut tersebut kerana kabinet yang ada kini turut dianggotai wakil dari parti berkenaan.

Ringgit catat rekod kejatuhan

Malah portfolio hal ehwal ekonomi kini disandang Mustapa Mohamed, iaitu ahli parlimen Bersatu.

Ismail Sabri juga mengingatkan Muhyiddin turut boleh dianggap gagal kerana dia merupakan pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Chua berkata selepas terjadinya Langkah Sheraton dan Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri dia gagal mengawal keadaan ketika negara diancam Covid-19.

Presiden Bersatu itu juga didakwanya mengumumkan darurat di seluruh negara untuk kekal berkuasa sebelum akhirnya dijatuhkan akibat pergaduhan di antara BN dan PN.

Tegas Chua, semasa Malaysia ditadbir oleh kerajaan yang diketuai Muhyiddin dan PN, negara berada pada zaman demokrasi paling gelap dalam sejarah.

"Kerajaan BN pimpinan Ismail Sabri sekarang pula mengalami ketempangan.

"Kegagalan yang jelas dapat dilihat apabila Ismail Sabri gagal menguruskan isu nilai mata wang, pertelingkahan dalaman Umno dan skandal seperti kapal tempur pesisir (LCS).

"Gandingan Ismail Sabri dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz menyebabkan nilai ringgit terus jatuh ke paras paling rendah menyebabkan seluruh rakyat

"Tetapi Tengku Zafrul rasa bangga dan gembira kononnya kejatuhan ringgit baik untuk pengeksport negara mencari keuntungan," dakwanya.

Tambah Chua keadaan bertambah malang apabila Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, gigih mengusahakan agar PRU ke-15 diadakan walaupun semasa musim tengkujuh.

Katanya rakyat sudah cukup merasai kegagalan pimpinan PN dan BN. Muhyiddin dan Ismail Sabri pula, tambah Chua, tidak perlu saling menuduh siapa lebih gagal.

"Orang ramai akan bersetuju 100 peratus jika Ismail Sabri dan Muhyiddin dinobatkan sebagai ikon gagal Malaysia," katanya.