Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Pelarian Rohingya bayar ejen hantar ke pejabat UNHCR bukan beli kad'

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesan etnik Rohingya warga Myanmar masuk ke negara ini dengan menggunakan ejen yang turut menguruskan bagi mendapatkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata sehubungan itu, perkara itu akan diteliti secara mendalam oleh jawatankuasa di Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan selanjutnya.

"Saya sempat temu bual beberapa pemegang kad UNHCR warga Rohingya (dalam operasi JIM) semalam dan mereka membuat pengakuan masuk ke Malaysia melalui sempadan-sempadan negara iaitu Kedah dan Kelantan dari Thailand, malah mereka mengaku ia (masuk ke Malaysia) diuruskan oleh ejen-ejen.

"Malah mereka juga mengaku ejen-ejen terbabit menguruskan perjalanan ke pejabat UNHCR di Kuala Lumpur untuk proses mendapatkan kad itu, perkara ini akan diteliti secara lebih mendalam oleh jawatankuasa di KDN.

Gambar hiasan.

"Mereka (etnik Rohingya) bukan beli (kad UNHCR) tapi mereka bayar kepada ejen antara RM5,000 hingga RM7,000 seorang dan ejen itu akan bawa ke pejabat UNHCR, pemahaman mereka kad itu dibeli tapi sebenarnya mereka membayar kepada ejen-ejen yang terlibat dalam menguruskan kemasukan mereka," katanya kepada pemberita selepas operasi JIM di sebuah tapak projek perumahan di Kubang Menerong, di Taasek Gelugor awal pagi tadi.

Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata dalam serbuan itu, pihaknya memeriksa 36 warga asing yang bekerja di tapak pembinaan berkenaan sebelum menahan 25 orang termasuk seorang wanita kerana tiada dokumen perjalanan diri, tinggal lebih masa dan dokumen yang meragukan.

Katanya mereka yang ditahan dalam operasi bermula pukul 11.15 malam tadi itu terdiri daripada 10 lelaki Bangladesh, lapan lelaki Indonesia, lima lelaki dan seorang wanita Myanmar serta seorang lelaki Nepal.

"Semua warga asing itu dibawa ke depoh tahanan untuk siasatan lebih lanjut kerana terdapat dalam kalangan mereka menggunakan dokumen meragukan khususnya pemegang kad UNHCR yang disyaki tidak tulen," katanya.

Gambar fail.

Beliau berkata operasi yang dijalankan itu merupakan yang ke-261 dijayakan oleh JIM Pulau Pinang sepanjang tahun ini dan seramai 193 warga asing bersama 32 majikan ditahan kerana pelbagai kesalahan imigresen dalam tempoh tersebut.

"Walaupun jumlah pendatang tanpa izin yang ditahan dalam operasi itu tidak ramai berbanding jumlah operasi dijalankan, jumlah kompaun yang dikenakan terhadap majikan serta warga asing lebih RM2.5 juta," katanya.

- Bernama