Kasino bertaraf dunia di P Pinang? Cadangan naib presiden Gerakan ditolak
Presiden Gerakan Dominic Lau menolak cadangan naib presidennya Baljit Singh untuk membina kasino bertaraf dunia di Pulau Pinang, sebagai sebahagian daripada manifesto Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.
Lau memberitahu Malaysiakini bahawa cadangan tersebut bukan pendirian rasmi Gerakan.
“Gerakan tidak akan bawa (cadangan tersebut) di perbincangan PN kerana ia bukan pendirian parti,” tegasnya.
Begitu juga dengan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusoff yang menjelaskan idea tersebut tidak pernah dibincang dalam kalangan PN Pulau Pinang.
“Dari dulu kita anggap judi ini tak ada faedah. Mana-mana agama pun tak benarkannya.
“Kita ingat itu adalah pandangan peribadi dialah. Jadi tak ada apa-apa perbincangan (di dalam PN), dia cuma lontar pandangan peribadi saja,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Dia juga membangkitkan walaupun Kelantan juga terdiri daripada masyarakat bukan Islam, kerajaan negeri di bawah pimpinan PAS tidak mempunyai kedai loteri, memandangkan semua agama menentang perkara itu.
“Ini amalan yang jelas di (negeri) PAS. Kenyataan Baljit Singh adalah pandangan peribadi - pendirian dan prinsip (PAS) sama,” katanya.
Pada Isnin lalu, Baljit dalam satu kenyataan di Facebook mencadangkan kasino bertaraf dunia seperti yang ada di Las Vegas, Amerika Syarikat dibina di Pulau Jerejak untuk meningkatkan industri pelancongan serta ekonomi Pulau Pinang.
Dia juga mencadangkan agar ia dimasukkan dalam manifesto PN.
"Adakah ini akan menjadi faktor pengubah di Pulau Pinang? Serahkan pengundi untuk menentukan (dalam PRU15)," katanya yang bertanding di Parlimen Jelutong pada 2018.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pemuda (AMK) Pulau Pinang Mohd Roshidi Roslan turut membidas idea Baljit yang disifatkan sebagai tidak sensitif dan tidak rasional.
“Cadangan Baljit untuk membina kasino bertaraf dunia di Pulau Pinang yang disiarkan media tempatan adalah satu cadangan yang tidak peka dengan komposisi dan gaya hidup masyarakat majmuk di Pulau Pinang.
“Kasino bertaraf dunia ala ‘Las Vegas’ yang mahu dibina dengan alasan untuk melonjakkan ekonomi dan industri pelancongan itu hanya akan mendatangkan banyak keburukan daripada kebaikan kepada penduduk Pulau Pinang.
“Negeri ini sememangnya sudah dikenali dan menjadi destinasi utama pilihan pelancong untuk bercuti bersama keluarga,” kata Md Roshidi dalam kenyataan.
Dia juga berkata masalah sosial akan memburuk sekiranya kasino dibina di negeri itu.
“PAS dan Bersatu sewajarnya membantah dan menasihati rakan gabungan mereka agar tidak menyentuh sensitiviti umat Islam di Pulau Pinang,” tambahnya.
Naib Ketua Pemuda Amanah Muhammad Fitri Termizi juga mengkritik cadangan sedemikian kerana ia akan mencemarkan nama baik Pulau Pinang sebagai negeri industri dan pelancongan mesra keluarga.
“PN tidak sepatutnya gopoh dan gelojoh dalam mengejar wang ringgit dengan menolak serta mengabaikan pembangunan sahsiah rakyat.
“Malahan rakan-rakan dalam komponen PN termasuk Bersatu dan Pas sewajarnya menasihati rakan mereka agar lebih bijak dan berhati-hati mengeluarkan kenyataan, terutamanya dalam isu menyentuh sensitiviti umat Islam dalam negara ini,” katanya dalam kenyataan semalam.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai